PADA Julai 2015, pelajar kejururawatan Carmen Mark, 18, dari Pulau Pinang mengalami kerosakan arteri di otaknya ketika belajar di Singapura.
Satu keadaan yang jarang berlaku – kecacatan arteriovenous iaitu keadaan dinding salur darah yang nipis dalam otak tidak normal – menyebabkan dia koma tiga minggu. Dia kemudian mengalami sawan yang memusnahkan semua harapan untuk sembuh.
Mengenang keinginannya untuk membantu orang lain sedangkan hidupnya sendiri bergantung pada mesin, bapanya, Mark Kok Wah menerima hakikatnya yang dia sudah kehilangan satu-satunya anak. Kok Wah kemudian membuat keputusan memberi penghormatan terhadap impian Carmen dengan mendermakan organnya.
Kok Wah berkata organ Carmen termasuk jantung, memberi manfaat kepada lapan warga Singapura dan pada Jumaat ini, buat pertama kalinya jantung gadis itu akan berdenyut lagi, dalam tubuh orang lain.
Memenuhi impian seorang bapa
Kok Wah, 46, seorang kontraktor khas berkata dia sentiasa tahu satu hari nanti individu yang menerima jantung Carmen akan menghubunginya dan isteri, Ariess Tan, 43.
Penerima jantung itu, Serene Lee, 37, tahu dari mana jantung yang berdegup dalam dirinya itu datang, kerana pada masa itu Kok Wah memutuskan untuk mendermakan organ anak perempuannya dan bagaimana Lee kemudian mengetahuinya.
“Carmen mahu tolong orang, untuk selamatkan nyawa. Sebab itu dia mahu belajar jadi jururawat. Senyap-senyap dia mohon biasiswa dari Pusat Jantung Negara Singapura dan dia dapat.
“Saya mahu dia lanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang atau kewangan. Dia minat kejururawatan, malah tidak kisah walaupun saya cuba takutkan dia dengan kisah pesakit yang jahat dan betapa teruknya kerja itu.
“Dia kata kalau jadi akauntan, dia tidak akan dapat selamatkan orang. Dia memang macam itu, selalu hendak tolong orang. Carmen hendak jadi penderma organ,” katanya.
Kok Wah tahu keputusannya itu akan mendapat bantahan keluarga, termasuk ibunya yang amat sayangkan Carmen, cucu pertamanya.
Katanya, hingga sekarang ibunya masih tidak dapat melepaskan Carmen pergi – dan baru minggu lepas bertanya kenapa Kok Wah tidak cuba selamatkan Carmen.

Pendermaan organ juga tabu dalam kebanyakan keluarga Asia, terutama bagi yang konservatif kerana mereka percaya si mati perlu sempurna untuk meneruskan perjalanan selepas mati.
Mengetahui yang dia tidak dapat mengendali soalan keluarganya dan pada masa sama berkabung dengan kematian anaknya, Kok Wah bersetuju ditemu ramah akhbar Straits Times Singapura untuk menjelaskan keputusannya.
“Bila artikel itu keluar, saya boleh beritahu sesiapa yang mempersoalkan tindakan saya supaya membaca artikel itu. Saya tidak mahu memberi penjelasan berulang kali.
“Rupa-rupanya Serene (Lee) juga baca artikel itu selepas sedar daripada pembedahan pemindahan jantung itu. Suaminya menunjukkan dia artikel itu, mendedahkan siapa pemilik jantung barunya sebelum ini,” katanya.
Dari situ, Lee mengikuti posting Facebook Kok Wah, yang memaparkan banyak gambar Carmen, kisah mengenai pendermaan organ, kerja amalnya dengan rumah anak yatim di Pulau Pinang.
Dua posting Kok Wah mengenai bagaimana penerima organ di luar negara bertemu keluarga penderma – bagaimana keluarga penderma dapat mendengar degupan jantung orang kesayangan mereka yang sudah meninggal dunia – buat Lee rasa terharu.
“Dalam dua posting itu, saya juga meluahkan keinginan untuk mendengar jantung anak saya berdegup lagi,” katanya, menambah dia tidak tahu Lee membaca postingnya itu.
“Selepas post kedua awal bulan lepas, iaitu mengenai seorang bapa mengayuh basikal sejauh 1,400 batu untuk mendengar degupan jantung anak perempuannya yang sudah meninggal dunia, Lee menghubungi saya menerusi mesej di Facebook.
“Bila saya terima mesej itu, saya berada di rumah. Saya menangis. Dia kata, saya tidak perlu mengayuh basikal sejauh 1,400 batu. Dia akan datang dan jumpa kami,” katanya.
Tan, ibu Carmen yang bekerja sebagai perunding kewangan juga menangis selepas membaca mesej Lee yang panjang.
“Kami banyak menangis sejak kematian Carmen. Kami masih menangis, kecuali jika di tempat kerja. Kami bertiga satu unit. Kami sangat rapat,” kata Kok Wah.
Selepas itu, Kok Wah, Tan dan Lee membuka grup Whatsapp bagi memudahkan mereka berhubung. Sebelum ini, pasangan itu ada satu grup bersama Carmen.
Tan berkata mereka tidak pernah berkomunikasi menerusi video, tetapi beberapa kawan rapat Carmen berbuat demikian dengan Lee, yang berminat untuk bertemu mereka.
Tidak tahu apa reaksi mereka ketika bertemu Lee kali pertama pada Jumaat, pasangan itu meminta ibu angkat Carmen menjemput Lee di lapangan terbang dan membawanya makan char koay teow.
“Kami fikir lebih baik bukan kami yang menjemputnya. Kami mungkin rosakkan keenakan char koay teow, dan buat ia jadi masin dengan air mata,” kata Kok Wah.
Misi pendermaan organ
Selepas makan tengah hari, Lee dijadualkan bertemu dengan Kok Wah dan Tan di pejabat Ketua Menteri Lim Guan Eng di Komtar pada 3 petang, di mana pasangan itu akan dapat mendengar degupan jantung Carmen.
Sesi itu akan mendapat liputan media tempatan dan Singapura selain kru penerbitan filem yang sedang menghasilkan dokumentari tentang kisah Carmen.

Kok Wah berkata dia memerlukan platform untuk mendidik mengenai pendermaan organ yang bermaksud menyelamatkan nyawa, sama seperti apa yang Carmen buat untuk Lee – seorang ibu tiga anak berumur tujuh hingga 17 tahun – dan penerima lain organ paru-paru, ginjal, hati dan pankreas.
Katanya, dia dan isteri banyak memberi pendedahan mengenainya sejak kematian Carmen, dan mereka mahu menyebarkan mesej mengenai menyelamatkan nyawa itu kepada audiens lebih besar bagi menjana kesedaran lebih luas mengenai kepentingan pendermaan organ.
“Beberapa bulan lalu, seorang remaja di Pulau Pinang diisytiharkan mati otak. Saya berjaya menghubungi ibu saudara remaja lelaki itu untuk menggalakkan keluarga mempertimbangkan menderma organ, yang dapat menyelamatkan nyawa orang lain.
“Saya diberitahu ibu remaja itu terlalu sedih untuk membuat keputusan. Remaja itu kemudian meninggal dunia,” kata Kok Wah.
Katanya, orang ramai perlu faham yang derma organ bukan bermaksud mengambil daripada orang mati, dari orang yang masih hidup atau meninggal dunia secara klinikal dengan kebenaran.
“Saya ada tanya Serene jika dia sanggup menyertai kami dalam kempen sokongan ini, dan dia bersetuju. Dia juga akan bercakap dengan media bersama kami pada Jumaat.
“Bayangkan apa yang boleh berlaku kepada Serene dan anaknya jika jantung Carmen tidak didermakan? Hari ini, Serene boleh melihat anaknya membesar. Wanita yang menerima buah pinggan Carmen tidak perlu lagi dialisis,” a.
Lee sebelum ini mengalami penyakit otot jantung yang menyebabkan jantung lemah dan tidak dapat mengepam darah. Ia sering menyebabkan kegagalan jantung berfungsi. Lee menggunakan jantung mekanikal.
“Sebahagian daripada anak saya masih hidup. Jantungnya adalah dalam Serene, jadi dalam cara itu, dia belum hilang sepenuhnya,” katanya.
Pada tahun pertama kematiannya, Kok Wah dan Tan menerima kad ucapan terima kasih daripada Lee dan penerima paru-paru dan buah pinggan Carmen. Kad itu dihantar menerusi Unit Pemindahan Organ Negara Singapura.
“Mesej pada kad itu buat kami menangis. Jika selepas ini, penerima lain temui kami dan kata mahu berjumpa, kami akan terima mereka sama seperti kami terima Serena.
“Jika tidak sekalipun, kami masih gembira kerana tahu Carmen membantu mereka dan kini mereka hidup sihat,” kata Kok Wah, yang turut mendaftarkan diri sebagai penderma organ.
Katanya, Lee akan menetap di rumah mereka di Taman Hutchings, tidur di bilik Carmen.
Lee juga akan menyertai mereka melawat rumah kebajikan di Pulau Pinang.
Yayasan atas nama Carmen
Memandangkan keluarga Mark sangat aktif dalam kerja amal, Kok Wah bercadang menubuhkan yayasan atas nama mendiang anaknya itu.
Dia bercadang untuk memfilemkan kisah Carmen dan keuntungannya dimasukkan ke dalam yayasan itu.
“Yayasan itu boleh membantu orang ramai yang memerlukan bantuan perubatan, anak yatim dan rumah kebajikan,” katanya.
Yayasan Carmen Mark masih lagi hanya satu idea, tetapi Kok Wah dan isterinya sudah pun merancang untuk meninggalkan semua wang mereka di situ selepas meninggal dunia.
Kok Wah berkata semua saham dalam syarikatnya juga akan disalurkan ke yayasan itu selepas dia meninggal dunia.
“Kami tidak ada anak lain. Bila kami tiada nanti, bukan boleh bawa duit bersama. Jadi akan tinggalkan ia di yayasan itu,” katanya. – 13 September, 2017.
Komen