PASUKAN keselamatan Bangladesh menghalang 29 pelarian termasuk etnik Rohingya menyeludup masuk ke Malaysia menggunakan bot nelayan.
Leftenan Komander Mahmud Hasan berkata pasukan Pengawal Pantai menemukan 16 wanita, tujuh kanak-kanak dan enam lelaki yang menunggu bot tersebut di Pulau Saint Martin di selatan negara itu awal hari ini.
“Antara mereka adalah 22 pelarian Rohingya dari kem Cox’s Bazar dan selebihnya merupakan rakyat Bangladesh. Kita juga menahan tiga anggota sindiket penyeludupan itu,” kata Hasan.
Pasukan keselamatan itu menyerahkan ketiga-tiga suspek kepada polis manakala kesemua pelarian dihantar ke Kutupalong, kem pelarian terbesar di dunia.
Kira-kira 740,000 etnik Islam Rohingya menjadi pelarian dan berlindung di Bangladesh susulan operasi tentera Myanmar pada Ogos 2017.
Kem-kem pelarian di Bangladesh sebelum itu dihuni lebih 300,000 pelarian Rohingya.
Operasi yang dijalankan hari ini merupakan yang keenam sejak November bagi memintas cubaan pelarian Rohingya menyusup masuk ke Malaysia.
Bulan lalu, lebih 100 orang dihalang, kebanyakannya pelarian Rohingya, daripada cuba masuk ke negara-negara jiran menggunakan laluan laut.
Puluhan ribu pelarian Rohingya diseludup masuk ke Malaysia sebelum Bangladesh melancarkan operasi membanteras sindiket penyeludupan susulan penemuan kubur besar pelarian oleh pihak berkuasa Thailand. – AFP, 30 Mac, 2019.
Komen