Kaedah pemulihan dadah di Malaysia


Yeoh Cheong Ee

Terdapat lima pusat Rumah Victory yang digunakan untuk mengajar agama bagi membantu proses pemulihan dadah. – Gambar laman web Rumah Victory, 31 Mac, 2019.

TERDAPAT dua kaedah pemulihan dadah yang digunakan buat masa ini di Malaysia iaitu sama ada menggunakan ubat gantian atau psikoterapi.

Bagi kaedah ubat gantian, aktivis berkata, peratusan untuk penagih pulih dalam tempoh pendek adalah tinggi tetapi peluang untuknya kembali menagih juga sama.

“Tida kira sama ada ketum atau methadone, kesan penggunaan bahan gantian bagi membuang ketagihan dadah adalah terhad dan ia mempunyai kesan negatif.

“Mereka mungkin akan ketagihan bahan gantian itu pula,” kata penyelia pusat pemulihan dadah Rumah Victory, Nan Soon Chai.

Methadone adalah sejenis dadah opioid yang digunakan untuk mengubati kesakitan dan juga digunakan untuk merawat ketagihan penagih.

Hasil kaedah penggantian boleh didapati dalam masa satu bulan hingga tempoh setengah tahun.

Bagaimanapun kaedah penggantian hanya boleh menunjukkan aspek fizikal ketagihan dan bukan dari sudut mental yang boleh menyebabkan ketagihan berulang, kata Nan.

“Kesan mental akibat dadah adalah besar dan mereka perlu mempunyai mental yang kuat bagi melawan rasa keseronokan dan keghairahan apabila mengambil dadah,” katanya.

Terdapat lima pusat Rumah Victory yang digunakan untuk mengajar agama bagi membantu proses pemulihan dadah.

Sepanjang beroperasi selama 30 tahun, pusat itu merawat kira-kira 3,000 pesakit. Hanya kira-kira 500 saja yang berjaya dan tidak lagi menagih dadah.

Nan berkata walaupun peratusan kejayaan di pusat itu adalah rendah, ia menunjukkan keperluan mental yang kuat bagi penagih dadah sebelum menjalani rawatan.

“Kebiasaannya mereka yang datang ke sini tidak datang secara sukarela tetapi dipaksa oleh keluarga.

“Bagi kes begini, kira-kira 50% daripadanya akan melarikan diri dari pusat ini. Mereka enggan bekerjasama dan tidak mahu mengikut arahan,” katanya.

Katanya terdapat kes ahli keluarga yang tidak sanggup melihat penagih menderita dan tidak mahu mereka dirawat.

“Ini sebabnya apabila kita memulakan rawatan, kita perlu berkomunikasi dengan keluarga pesakit untuk mencapai persetujuan,” katanya. – 31 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen