Tembok penjara bukan penghalang urus niaga dadah


Yeoh Cheong Ee

Semua penjara di Malaysia mempunyai masalah dadah, dan antara punca utamanya adalah warden yang korup, kata seorang pengurus pusat penjagaan penjara di Pahang. – Gambar AFP, 31 Mac, 2019.

DADAH, rokok, ayam goreng dan telefon bimbit — antara barangan paling popular yang sanggup dibayar oleh banduan untuk menikmati hidup ketika menjalani hukuman di dalam penjara.

Walaupun menjalani hukuman mati, pesalah kes dadah yang berjumlah lebih separuh daripada 66,000 populasi banduan, mudah mendapatkan bekalan bahan terlarang ini di tempat yang sepatutnya memulihkan mereka.

Semua penjara di Malaysia mempunyai masalah dadah dan antara punca utamanya adalah warden yang korup, kata seorang pengurus pusat penjagaan penjara.

“Banduan tidak boleh mendapatkan dadah tanpa bantuan warden yang membawa masuk bahan itu. Banduan tidak mempunyai cara untuk menghubungi orang luar bagi mendapatkan dadah. Semua penyeludupan itu boleh dilakukan melalui warden,” kata pengurus itu yang enggan dikenali kepada The Malaysian Insight.

“Gaji warden adalah rendah. Itu sebabnya mereka terlibat dalam penyeludupan. Ia menjadi cara untuk menambah pendapatan,” katanya sambil menambah harga barangan terlarang itu boleh meningkat 10 kali ganda berbanding harga di luar penjara.

Sumber itu berkata sebuah telefon bimbit lama mampu mencecah harga sehingga RM1,000, manakala sebungkus kecil dadah bernilai ratusan ringgit.

Malah rokok gulung yang berharga RM5 boleh meningkat sehingga RM200 jika dijual di penjara.

Pasaran itu sudah wujud ekoran populasi banduan yang melebihi had kapasiti 45,000 orang 37 buah penjara di seluruh negara.

Pesalah dadah sahaja berjumlah 46,000 orang atau hampir 70% daripada keseluruhan banduan.

Sumber itu mendakwa warden penjara kebiasaannya menyediakan bank akaun kepada waris banduan untuk memindahkan wang sebelum mereka bersetuju menyeludup bahan terlarang itu.

“Banduan tidak akan memberitahu perkara sebenar kepada keluarga mereka. Biasanya mereka menipu kononnya tidak cukup wang membeli makanan atau kalah dalam perjudian.

“Mereka mencipta pelbagai alasan untuk meyakinkan ahli keluarga supaya memasukkan duit tersebut.”

Kata sumber itu Jabatan Penjara sedar tentang salah laku rasuah dalam kalangan warden dan mereka yang ditangkap tidak pernah didakwa.

Sebaliknya mereka akan dipindahkan atau dipecat secara senyap.

Bekas penagih dadah yang hanya dikenali sebagai Lu mendedahkan tiga rakannya yang kini dipenjarakan akibat menjual dadah mendakwa mereka menguruskan rangkaian dadah di penjara.

Katanya warden yang korup merupakan penghubung antara banduan dan pembekal dadah di luar penjara dan kebanyakan ketua warden tidak ambil endah terhadap aktiviti haram itu.

“Sesetengah warden sangat miskin. Anda hanya perlu beri mereka ayam goreng, rokok atau majalah sebagai tanda terima kasih. Dan tidak lupa juga Rm100 sebagai angpau (upah) selepas berjaya melakukan transaksi,” katanya.

“Anda fikir ketua warden tidak tahu perkara yang berlaku dalam penjara? Dia sedar rakan sekerjanya tidak memiliki pendapatan yang cukup, jadi dia sekadar menutup mata terhadap isu itu. Jika harga barangan seludup tinggi, dia juga akan mendapat keuntungan.” – 31 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen