KESATUAN Eropah (EU) menyiasat dakwaan bahawa dana bantuannya disalurkan kepada gerila komunis Filipina yang terlibat dalam pemberontakan sejak puluhan tahun lalu.
Kerajaan Filipina menuntut siasatan itu dijalankan selepas mendakwa dana itu yang sepatutnya disalurkan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan tempatan, dialihkan kepada Parti Komunis Filipina dan Tentera Rakyat Baharu (NPA).
“Jika dakwaan itu didapati benar, EU akan mengambil tindakan undang-undang,” kata kesatuan itu dalam satu kenyataan.
EU juga akan melaksanakan audit kewangan oleh syarikat luar ke atas pertubuhan itu pada bulan depan.
Kenyataan itu berkata Manila membangkitkan dakwaan itu pada Januari lalu, tetapi audit awal setakat ini tidak dapat mengesahkan tuduhan tersebut.
Jurucakap tentera Filipina Brigadier Jeneral Edgard Arevalo berkata Manila mempunyai sejumlah dokumen yang menyokong dakwaan tersebut.
Arevalo berkata jutaan peso dana bantuan asing disalurkan kepada NPA sejak beberapa tahun lalu.
Presiden Rodrigo Duterte membatalkan rundingan damai dengan kumpulan pemberontak pada 2017 selepas mereka enggan menandatangani gencatan senjata dan tidak menghentikan cukai revolusi ke atas perniagaan di kawasan yang dikuasai gerila.
NPA melancarkan pemberontakan sejak 1969 bagi mewujudkan sebuah negara komunis dan berkubu di kawasan selatan negara itu.
Sebanyak 40,000 nyawa terkorban sejak pemberontakan itu tercetus. – AFP, 30 Mac, 2019.
Komen