DALAM bahasa mudahnya, Perdana Menteri Najib Razak bertemu seorang pemimpin yang sehati dan sejiwa pada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam pertemuan bersejarah mereka di Washington D.C.
Apa yang sepatutnya hanya satu pertemuan empat mata yang singkat antara dua pemimpin dan mesyuarat dua hala antara delegasi Malaysia dan pegawai AS bertukar menjadi satu sesi perbualan selama 45 minit antara Najib dan Trump, mesyuarat dua hala yang lebih lama.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa Trump bersimpati dengan Najib dan memberitahu, beliau sendiri juga dicemuh sebagai seorang diktator dan autoritarian oleh penentangnya.
Mereka juga jadi mangsa berita palsu, kata Presiden AS itu, merujuk kepada istilah yang sering diungkapnya bagi setiap laporan berita media Amerika yang tidak disukainya.
“Mereka bermula dengan baik dan mendapati ada banyak persamaan antara mereka. Namun ia pertemuan yang bertumpu pada soal perdagangan, keselamatan serta isu kepentingan bersama,” kata seorang pegawai kepada The Malaysian Insight.
Pegawai juga memaklumkan tiada sidang media dijadualkan selepas pertemuan itu namun kedua-dua pemimpin mengadakan sesi spontan mendedahkan butir perbincangan mereka.
Difahamkan daripada pertemuan itu, Trump akan melawat Malaysia pada November ini untuk memeterai beberapa perjanjian termasuk pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia. Trump akan jadi presiden AS kedua melawat Malaysia dalam waktu yang terdekat selepas Presiden Barack Obama pada 2015 dan 2014.
Ada kemungkinan kini Malaysia Airlines akan membeli 50 pesawat Boeing 787 Dreamliners, kata pegawai. Agensi berita Reuters melaporkan syarikat penerbangan Malaysia itu bersetuju membeli lapan pesawat pada harga RM7.6 bilion (AS$1.8 bilion)
Namun Trump memberitahu wartawan selepas pertemuannya dengan Najib bahawa dua negara itu membincangkan perjanjian dagang lebih luas melibatkan pesawat Boeing yang akan dibeli oleh Malaysia antara AS$10 bilion (RM42 bilion) dan AS$20 bilion (RM84 bilion) pesawat Boeing dan enjin pesawat General Electric.
Najib yang ketara gembira memberitahu wartawan bahawa Malaysia merancang melabur antara AS$3 bilion (RM12.6 bilion) dan AS$4 bilion (RM16.8 bilion) untuk menyokong program infrastruktur AS.
Najib juga memberitahu Trump bahawa tabung pencen terbesar Malaysia, Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) mencatatkan peningkatan ekuiti daripada AS$3 bilion kepada lebih kurang AS$7 bilion di bawah pentadbirannya.
Seorang lagi sumber Malaysia memberitahu The Malaysian Insight, Malaysia dan AS mungkin akan menandatangani perjanjian perdagangan menjelang 2019, setahun selepas AS memberikan pengecualian visa untuk rakyat Malaysia ke negara itu.
Perjanjian perdagangan antara kedua-dua negara terbantut selepas Trump membatalkan perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik yang dimulakan oleh pentadbiran Obama.
Pegawai yang dekat dengan perdana menteri percaya hubungan erat antara Trump dan Najib akan membuka jalan ke arah penyelesaian terhadap tindakan mahkamah dan penyiasatan jenayah oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) AS ke atas kes kleptokrasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Difahamkan pegawai pentadbiran Trump tidak begitu berminat dengan kes DoJ seperti pentadbiran Obama sebelumnya kerana percaya ada urusan lain lebih mustahak seperti melawan keganasan dan menangani Korea Utara dengan Malaysia sebagai rakan kongsi strategiknya.
Namun, tidak jelas apakah Trump mahu mengambil mudah kes yang disifatkan sebagai antara penyelewengan terbesar di dunia.
Pembangkang dan masyarakat sivil Malaysia sebelum ini menyuarakan kekesalan atas jemputan yang dihulurkan oleh White House kepada Najib ekoran skandal 1MDB dan dakwaan penglibatan perdana menteri.
Beberapa pihak di AS berharap Trump akan menggunakan kunjungan Najib untuk menegur perdana menteri berhubung tindakan beliau terhadap penentang politiknya.
Apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila Trump mengakui beliau dan Najib berkongsi banyak persamaan. Trump yang memegang jawatan sejak Januari lalu dilihat sebagai presiden AS yang paling tidak popular dengan tahap sokongan paling rendah, sama seperti Najib.
Sama seperti Najib, Trump juga memecat pegawai yang dekat dengannya dalam masa beberapa bulan awal pentadbirannya. Najib memecat beberapa pegawainya, termasuk timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin, pada 2015 enam tahun selepas berkuasa. – 13 September, 2017.
Komen