GEORGIA bakal mengikuk jejak empat lagi negeri di Amerika Syarikat (AS) yang mengharamkan pengguguran bayi selepas penggubal undang-undang negeri itu meluluskan rang undang-undang itu.
Pengguguran bayi merupakan antara isu utama di AS dan beberapa negeri cuba mengehadkan akses untuk melakukan pengguguran.
Antara negeri yang meluluskan undang-undang itu sejak beberapa tahun lalu adalah Iowa, Kentucky, Mississippi dan Tennessee.
Georgia buat masa ini membenarkan pengguguran bayi dilakukan sehingga usia 20 minggu.
Pada Jumaat, dewan perwakilan Georgia meluluskan rang undang-undang itu yang melarang pengguguran sebaik sahaja degupan jantung janin bayi dikesan atau kira-kira usia bayi enam minggu.
“Georgia menghargai kehidupan. Kita berjuang untuk bayi yang tidak bersalah dan bagi mereka yang tidak boleh menyatakan pendirian mereka sendiri,” kata Gabenor Brian Kemp dari Parti Republikan.
Kumpulan hak asasi manusia utama di AS, American Civil Liberties Union bagaimanapun mahu mencabar rang undang-undang itu di mahkamah.
“Jika Kemp meluluskan undang-undang larangan pengguguran ini, kita akan membawa isu ini ke mahkamah,” kata pengarah eksekutif kumpulan itu Andrea Young.
Sebanyak 13 negeri AS sudah mengkaji atau meluluskan rang undang-undang itu pada tahun ini.
Mahkamah Agung AS membenarkan pengguguran di seluruh negara pada 1973.
Namun sejak Presiden Donald Trump mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2017, beliau menamakan dua hakim di Mahkmah Agung yang menentang pengguguran bayi. – AFP, 30 Mac, 2019.
Komen