SEORANG penduduk Palestin telah maut terkena bedilan tentera Israel pada awal pagi Sabtu di timur Bandar Gaza, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan sumber perubatan Palestin.
Mohammed Saad, 20, terbunuh apabila terkena bedilan peluru kereta kebal yang ditembak oleh tentera Israel tepat di bahagian kepalanya, menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qedra, dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun Al-Qedra tidak memberikan butiran lanjut mengenai insiden itu.
Insiden ini berlaku semasa penduduk Palestin membuat persiapan untuk menyambut ulang tahun pertama “Perarakan Pulang Besar-Besaran,” yang merupakan perhimpunan besar-besaran berhampiran pagar yang dekat dengan Israel.
Kementerian Palestin itu melaporkan pada Jumaat bahawa sejumlah 266 penunjuk perasaan rakyat Palestin maut dalam perhimpunan pada tahun lepas.
Kenyataan itu menyebut sejumlah 50 kanak-kanak, enam wanita, tiga paramedik dan dua wartawan terbunuh dalam insiden tersebut. – Bernama, 30 Mac, 2019.
Komen