INI cerita kenapa Amin, seorang anak muda yang ada kerja tetap sebagai penyelenggara sistem teknologi maklumat di anak syarikat tersenarai di Bursa Kuala Lumpur, memandu secara sambilan perkhidmatan kongsi kereta atau e-hailing. Jawapannya mudah – dia masih perlukan kerja sampingan kerana beban kos sara hidup.
Apalagi trend sekarang, soal kerja tambahan bukan lagi isu besar. Kalau mahukan duit lebih, jadi saja pemandu e-hailing.
“Hai, bro Amin,” sapa saya bila kenderaan tempahan tiba.
Nama pemandu antara paparan utama pada sistem terima tempahan e-hailing. Jadi, baca saja dan terus jadikan teknik teguran tanda kemesraan.
“Hai, encik,” jawab pemandu e-hailing.
Soalan pertama saya apabila menggunakan servis ini, sentiasa stereotaip.
“Memandu sepenuh masa?”
“Sambilan saja. Bawa malam lepas Isyak hingga 2.00 pagi?”
“Kerja di mana?” Tanya saya.
Bla bla bla….
Amin antara 60,000 pemandu e-hailing di negara ini. Namun, tiada data anak muda ini mewakili berapa puluh peratus pemandu sambilan.
E-hailing ketika era awalnya terkenal sebagai pekerjaan sambilan. Satu fenomena yang mencetuskan minat luar biasa bagi menambahkan pendapatan. E-hailing antara realiti utama bagi semua masyarakat negara membangun yang terdesak memerlukan kerja sambilan.
Bagi manusia yang rajin, apa saja peluang akan sentiasa diraih demi memajukan dirinya.
Amin bekerja sebagai penjawat swasta sejak enam tahun lalu. Sudah berkahwin pada 2015 dan memiliki seorang anak lelaki berusia 20 bulan. Tidak lama lagi, katanya, akan dapat anak kedua.
Walaupun menerima gaji bersih sekitar RM3 ribu dan isterinya bekerja sebagai pembantu klinik dengan gaji bersih RM1500 sebulan, Amin masih perlu mencari kerja tambahan.
Paling tidak, wang saku dengan untung bersih RM800 sebulan sebagai pemandu e-hailing dapat menampung bayaran ansuran bulanan kereta.
Hari ini, di Kuala Lumpur dan bandar raya besar lain di negara ini, adalah perkara biasa, sebuah isi rumah perlu memiliki tiga kerja. Dua kerja pasti di bahu suami. Isteri yang bekerja tidak mungkin melibatkan diri dalam kerja tambahan. Logiknya, ibu perlu menjalankan tanggungjawab di rumah selepas sembilan hingga 12 jam waktu kerja dan tempoh perjalanan.
Isteri tidak mungkin melakukan pekerjaan sampingan kerana menguruskan rumah tangga dan anak-anak.
“Gaji RM4,500 bukan tak cukup. Bukan tanda saya tak ukur baju badan sendiri,” kata Amin.
Disekolahkan saya dengan fakta. Bahawa rumah sewanya di aparment 825 kaki persegi mencecah RM1 ribu sebulan. Kereta pula RM800. Itu komitmen tetap.
“Baki RM,2700 tak cukup. Tiap bulan hantar wang kepada mak ayah RM300. Dua adik masih sekolah di Sungai Rokan, Ipoh,” katanya.
M40 tidak hidup selesa
Saya faham. Isu status pendapatan isi rumah di Kuala Lumpur tidak boleh diukur dengan indeks statik yang digariskan pihak berkuasa. Status M40 bukan bererti hidup Amin dan kelompoknya berada dalam zon selesa.
M40 bawahan, realitinya masih status kumpulan pendapatan yang bertempur untuk menguruskan kualiti hidup.
Anak muda seperti Amin tidak layak dan tidak akan boleh mengurangkan kos sewa rumah dengan mendaftar permohonan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Di Kuala Lumpur, terdapat 20 ribu keluarga kelas berpendapatan B40 sedang menunggu giliran. PPR adalah hak pemohon yang bergaji bawah RM2 ribu sebulan.
Untuk membeli rumah sendiri pula, lebih elok janganlah dibincangkan. Terlalu panjang dan menyakitkan. Kalau saya menyewa e-hailingnya sampai ke Alor Setar pun, rungutan mengenai masalah pasangan muda untuk membeli rumah tidak akan selesai.
Soal proses membeli rumah, satu kisah lain pula. Ia mengenai penzalim pemaju perumahan serta sistem kasta yang diciptakan pihak perbankan untuk memperlekehkan anak muda.
Pemaju budaya Zionis akan meletakkan harga rumah mampu milik pada paras RM300 ribu ke atas. Apabila, pasangan setara Amin membuat permohonan, bank pasti hanya meluluskan pinjaman sekitar RM220 ribu ke RM250 ribu sahaja.
Anak muda seperti Amin akan menjadi gila kalau tiga kali memohon di bank berbeza tetapi sistem penilaiannya tetap sama.
Mana mungkin dia mampu menyediakan wang bayaran muka antara RM50 ribu hingga RM80 ribu ketika tabungannya sempit dan Akaun Dua KWSP hanya sekitar 30% saja berbanding demand bayaran muka?
Itu sebelum masuk lagi kegilaan caj dalam melaksana perjanjian jual beli. Sistem yuran dan caj lain juga beban tidak terpikul. Ada banyak kos yang diciptakan dalam pelbagai ruang dan semua keperluan ini juga menuntut yuran bukan kecil.
Caj guaman, kos insuran perumahan dan segala cukai duti setem boleh menyebabkan anak muda seperti Amin mengalami gangguan pasca trauma dan menjadi gila.
Malah, silap hari bulan - proses membeli rumah dan berdepan kerenah perbankan -adalah pengalaman serik seperti berada di depan pintu neraka jahanam.
Jadi, apa kesudahannya?
Memohon PPR tidak layak, membeli rumah pula tidak mampu. Apa lagi pilihan yang ada - kenalah menyewa.
“Servis selenggara rumah RM80 sebulan dibayar penyewa. Belum masuk bil api dan air. Sekarang upah jaga anak pun RM280 sebulan. Kalau saya tak buat kerja tambahan, makan sardinlah. Itu status warga M40 di Kuala Lumpur,” kata Amin.
Lulusan universiti di Johor ini memasuki alam pekerjaan pada era muram. Tahun 2013, gaji pemegang ijazah masih RM2250 sebulan.
Anak muda era malang
Amin antara 500,000 anak muda yang memasuki alam kerjaya pada era yang malang. Secara purata, mengikut Bank Negara Malaysia (BNM) wujud takuk beku dalam indek gaji purata pemegang ijazah sarjana muda.
Menurut Laporan Tahunan BNM pada Khamis lalu, pada 2010, pemegang ijazah sarjana muda menerima purata gaji RM1,993 sebulan. Anehnya sekarang, purata gaji turun ke paras RM1,983.
Apa kejadahnya?
Dalam tempoh lapan tahun dengan kadar inflasi purata 3% setahun, generasi Amin menerima purata gaji lebih rendah dalam pergerakan julat waktu sedekad?
Ini data terkini BNM. Pergerakan gaji pemegang ijazah menurun dalam tempoh lapan tahun.
Isu kos operasi majikan yang meningkat akibat kadar faedah bank, antara punca utama. Sektor Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang menyediakan 60% peluang pekerjaan tidak dapat meningkatkan kadar upah kerana beban kadar faedah perbankan yang tinggi.
Tidak kisahlah apa pun realiti dan alasannya. Cuma, apakah kegilaan sistem ini akan kekal dan kita akan terus menciptakan generasi demi generasi terpelajar yang akhirnya akan melalui kehidupan tidak normal seperti Amin?
Dalam tempoh lapan tahun, tidak ada satu pun kos sara hidup dan kadar inflasi yang menurun. Bayaran masuk toilet awam yang busuk pun, kita kena bayar 30 sen.
Generasi Amin terpaksa melakukan kerja tambahan kerana sistem pelayanan terhadap anak muda sangat merosot ke tahap macam ‘Yahudi melayan Palestin’.
Malah, dalam tempoh empat atau lima tahun ini, banyak majikan ‘Yahudi’ langsung tidak menaikkan gaji tahunan pekerja atas alasan kemerosotan ekonomi atau kos operasi yang meningkat.
Kalau pekerja berkeras, diberikan kata dua: “Nasib baik kamu semua masih bekerja. Jangan sampai syarikat buang pekerja!”
Itu ugutan stereotaip pada era VSS dan MSS sedang membelenggu sektor swasta mutakhir ini.
“Saya nasib naik. Ada juga merasa kenaikan gaji 2 ke 3% setahun,” katanya.
“Phuiii!” Balas saya.
Amin ketawa.
“Kadar inflasi pun 3%, bro,” kata saya melepaskan geram.
Orang tua seperti saya akan selalu berasa marah dan tersentuh. Amin mewakili generasi anak saya. Generasi yang dianiaya oleh sistem majikan yang otaknya Yahudi. Anak muda sekarang macam warga Palestin. Kalau melawan pun, ibarat melontar batu tapi dibalas dengan serangan bom!
“Kamu harapkan apa lepas pilihan raya lepas?” Tanya saya, sengaja mengumpan.
“Susah nak cakap, encik,” jawabnya.
Anak muda seperti Amin tidak akan lantang merungut. Bukan sebab takut, tetapi kerana sudah letih dan meluat. Kalau undi kerajaan lama nanti dituduh menyokong kleptokrasi. Tetapi mengundi kerajaan yang baharu, kelihatan politiking tidak henti-henti.
Orang tua macam saya tidak perlu memasang telinga. Pemandu e-hailing macam Amin tidak akan bercakap sembarangan. Ini bukan era pemandu teksi yang sentiasa berani mencarut apabila marah. Ini era, pemandu e-hailing seperti Amin perlu mendiamkan diri kerana takut pelanggan bersikap sensitif pada komen politik.
Masalah salah faham politik berisiko pada aplikasi pemarkahan servisnya.
18 minit dalam kereta, saya tiba di destinasi. Saya keluar dan mengucapkan selamat bekerja kepada Amin. Dia ada dua jam lagi masa di jalanraya demi mencukupkan pendapatan harian. Ini perjuangan demi survival bulanan sebagai suami dan bapa.
Orang mungkin menyindirnya.
Mengungkit, apa perlunya membeli kereta dan menyewa aparment? Gaji yang masih tidak mencukupi walaupun suami isteri bekerja akan menjadikan Amin dianggap “tidak mengukur baju di badan sendiri”.
Ini tuduhan liar yang mudah dilemparkan terhadap anak muda apabila mereka cuba memiliki kehidupan lebih berkualiti.
Anak muda akan dituduh gila bergaya dan sengaja mencari susah kerana tidak menyesuaikan hidup dengan pendapatan bulanan.
Tapi Amin hendak ke mana? Dia tidak layak menduduki rumah PPR. Malah, tidak layak juga membeli rumah sendiri. Dia tidak layak menerima zakat. Malah, tidak layak untuk mendapatkan apa-apa insentif.
Jadi, sekali pun memiliki ijazah sarjana muda, Amin masih seorang “Palestin” di dalam sistem ‘Yahudi’ yang entah ciptaan siapa.
Eloklah kita jangan fikirlah, siapa yang mencipta zionisme ekonomi di negara ini. Lebih baik kita berharap, ada yang berani mengubahnya.
Pulangkan gaji setimpal kepada anak muda. Stabilkan harga rumah dengan dan akses kemudahan pinjaman yang munasabah.
Tidak mengapa kalau mereka rajin bekerja. Tetapi jangan kerana itu, gaji dan kebajikan mereka dilayan seperti haiwan yang memakai baju manusia.– 31 Mac, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen