Rakyat boleh menumbangkan Pakatan Harapan (PH) daripada kerajaan persekutuan pada pilihan raya akan datang jika ia gagal menunaikan manifesto apabila menjadi parti pemerintah, kata timbalan presiden pakatan itu, Mohamad Sabu.
Presiden Amanah yang juga dikenali sebagai Mat Sabu itu berkata, gabungan parti pembangkang hanya boleh dinilai jika mereka diberi peluang memerintah negara pada penggal akan datang.
“Kami mahu orang ramai dididik, untuk melihat apa yang baik dan apa yang buruk, jika anda melihat PH tidak dapat menunaikan janji apabila kami memerintah negara, tidak dapat menunaikan janji manifesto kami, anda mempunyai kuasa untuk membuat perubahan pada masa depan,” katanya pada forum mengenai perkongsian strategik bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor malam ini.
Mat Sabu berkata Malaysia berdepan halangan terbesar untuk menumpaskan kerajaan BN, kerana parti pemerintah itu telah berkuasa sejak beberapa dekad.
“Tetapi apabila anda sudah menukar kerajaan, proses untuk menukar kerajaan sekali lagi akan menjadi lebih mudah. Untuk mengubah yang pertama adalah yang paling sukar, yang kedua, ketiga akan lebih mudah,” katanya sambil menambah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah saat paling sesuai bagi rakyat untuk menukar kerajaan.
“Apabila anda menukar kerajaan dan jika ia berjaya menunaikan (janji mereka), anda boleh menyokong mereka sekali lagi tetapi jika kerajaan baru lebih teruk, maka anda boleh mengubahnya,” katanya.
Forum yang dianjurkan kumpulan pendesak India, Hindraf, juga menampilkan pengerusi Hindraf P. Waythamoorthy dan bekas menteri perundangan Zaid Ibrahim.
Waythamoorthy mengulangi rancangan kumpulan itu untuk menjadi sekutu PH, berjanji menyokong dan memperjuangkan pakatan pada pilihan raya umum akan datang.
“Sejak meletakkan jawatan, saya pergi ke kawasan luar bandar, bertemu orang ramai, bercakap dengan mereka dan mendengar isu-isu mereka. Mereka semua mempunyai satu perkara yang sama, ingin melihat wakil kaum India dalam PH.
“Itulah sebabnya saya memulakan perundingan dengan kepimpinan PH agar Hindraf diterima sebagai rakan gabungan kelima,” katanya sambil mengakui membuat kesilapan dalam menandatangani memorandum persefahaman dengan Perdana Menteri Najib Razak sebelum PRU13 untuk menyokong BN.
Selepas PRU13, Waythamoorthy dijadikan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, tetapi meletak jawatan pada 2014, mengatakan kerajaan gagal menunaikan janji membantu masyarakat India.
Beliau berkata Hindraf secara rasmi akan memohon untuk menyertai PH beberapa minggu lagi.
“
Sementara itu, Zaid berkata penyertaan Hindraf di dalam PH, memainkan peranan penting dan bakal memberi sumbangan yang banyak.
“Sokongan Hindraf sangat penting, saya harap kita tidak mengulangi kesilapan lalu kerana tidak mahu bekerja dengan Hindraf,” katanya sambil menambah walaupun PH berjaya mengambil alih dua negeri, ia juga perlu memikirkan negara kerana semuanya berpusat di Putrajaya.
“Seluruh negara hanya boleh diubah jika anda menawan Putrajaya,” katanya. – 12 September, 2017.
Komen