ENAM anak gajah yang terpisah daripada ibu bapa mereka dan terjatuh dalam lubang berlumpur selama beberapa hari, berjaya diselamatkan oleh peronda hutan di luar bandar Thailand, kata pihak berkuasa semalam.
Peronda hutan terkejut apabila sekumpulan anak gajah dilihat bergelut dalam lumpur di taman negara, timur Bangkok pada petang Rabu, kata penguasa taman Prawatsart Chantheap kepada AFP.
Apabila para peronda menyedari anak gajah berusia antara satu hingga empat tahun tidak dapat keluar dari lubang kotor, mereka mengambil alat penggali manakala beberapa peronda lain memantau anak gajah yang sedang takut tersebut.
“Pasukan kami tiba dengan cangkul (pada hari Khamis pagi) ... dan kami mula menggali lubang lumpur untuk menjadikannya kurang curam,” katanya.
Selepas tiga jam menggali, anak gajah yang diliputi lumpur berjaya keluar dari lubang satu demi satu ketika para peronda hutan bersorak.
“Pergi, pergi, ikut satu sama lain!” jerit para peronda dalam sebuah video yang dirakam oleh jabatan taman negara. “Pergi, anak-anak, pergi!”
Prawatsart berkata rangers telah melihat sekumpulan 30 ekor gajah dewasa di kawasan itu dan percaya anak gajah tersebut terpisah daripada kawanannya. – AFP, 30 Mac, 2019.
Komen