MENJELANG sesi persekolah baharu yang akan bermula esok, ibu bapa dan guru di Sungai Kim Kim, Johor hari ini bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah yang ditutup susulan bencana pencemaran kimia awal bulan ini.
Mereka berkata pembersihan besar-besaran itu penting bagi memastikan pelajar memulakan penggal baharu persekolahan dalam persekitaran bersih dan selamat, selepas mereka trauma kerana menghidu gas beracun.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Pasir Putih Ahmad Yussof Suparman, 53, berkata beliau terharu dengan sokongan ibu bapa dan guru.
“Kami mula bersihkan sekolah selepas kejadian tetapi berhenti selepas berlaku gelombang kedua (pencemaran).
“Sejak Isnin, kami mula membersihkan sekolah dan kami harap semuanya selesai esok,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pembuangan bahan kimia haram ke dalam sungai kawasan itu dua minggu lalu menyebabkan lebih 1,000 orang, kebanyakannya pelajar sekolah dirawat kerana masalah kesihatan.
Jabatan Alam Sekitar berkata 20 tan sisa kimia mungkin dibuang ke dalam sungai tersebut sehingga mencetuskan krisis kesihatan dan alam sekitar setempat.

111 buah sekolah di seluruh Pasir Gudang diarah tutup sejak krisis bermula pada 7 Mac selepas pelajar sekolah mula jatuh sakit.
JAS sudah memberi jaminan sungai itu bebas pencemaran dan kualiti udara kawasan sekitar berada pada tahap selamat.
Bagaimanapun, Yussof berkata ibu bapa mahukan JAS memberikan taklimat kepada pelajar tentang alam sekitar dan langkah boleh diambil sekiranya bencana sama berulang.
“Bila kejadian berlaku, kami terkejut dan tidak tahu apa hendak buat dan jangka,” katanya.
Lebih 60 guru dan 20 ibu bapa menyertai gotong royong selama tiga jam semalam.
Terdapat 1,964 pelajar dalam 36 buah kelas di SMK Pasir Putih yang akan mula bersekolah esok.

Tiga sekolah lagi yang turut melakukan gotong royong ialah Sekolah Agama Taman Pasir Putih, SK Taman Pasir Putih dan SMK Tanjung Puteri Resort.
Semua sekolah tersebut terletak antara 300m hingga 500m dari Sungai Kim Kim.
Ketua Balai Polis Daerah Seri Alam ASP Mohd Shamsso Abdullah berkata 93 anggota polis dan 51 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) sudah dikerah untuk membantu pembersihan sekolah yang bermula sejak Jumaat.
“Kami juga akan terus memantau sekolah dan bertindak jika bantuan diperlukan,” katanya.
Di Masjid Al Firdaus, Taman Pasir Putih pula, Pertubuhan Ikram Malaysia dan pelbagai penaja menyerahkan lebih 120 set pakaian dan peralatan sekolah untuk pelajar. – 30 Mac, 2019.
Komen