Benarkan penyebaran keganasan, Australia cadang hukum syarikat media sosial


Australia bertindak pantas, bercadang menggubal undang-undang baharu yang boleh menyebabkan eksekutif syarikat media sosial dipenjara jika gagal memadamkan kandungan ganas di platform mereka. – Gambar AFP, 30 Mac, 2019.

AUSTRALIA hari ini berikrar untuk memperkenalkan undang-undang baharu yang boleh menyebabkan eksekutif media sosial dan gergasi teknologi didenda berbilion dolar jika gagal membuang bahan ekstremis daripada platform mereka.

Akta baharu yang lebih ketat itu akan dibawa ke Parlimen minggu depan ketika Canberra berusaha mendesak syarikat media sosial bertindak bagi menghalang platform mereka digunakan sebagai “senjata” oleh pengganas seperti mana berlaku pada serangan pengganas di Christchurch.

Facebook berkata ia “pantas bertindak” membuang 1.5 juta video serangan dilakukan pengganas kulit putih yang menyiarkannya secara langsung itu.

Video berdurasi 17 minit pada serangan 15 Mac lalu yang membunuh 50 orang pantas tular dan pakar berkata ia masih boleh ditonton dengan mudah beberapa jam selepas serangan.

“Syarikat gergasi media sosial ada tanggungjawab untuk melakukan semua langkah yang mungkin bagi memastikan teknologi mereka tidak dieksploitasi pengganas yang membunuh,” kata Perdana Menteri Scott Morrison dalam satu kenyataan.

Morrison yang berjumpa beberapa syarikat pada Selasa- termasuk Facebook, Twitter dan Google- berkata Australia akan menggalakkan negara maju kumpulan berpengaruh,G20, untuk memaksa syarikat media sosial bertanggungjawab.

Peguam Negara Christian Porter berkata akta baharu itu akan menjadikan kegagalan syarikat media sosial untuk memadamkan “bahan mencetus keganasan” seperti serangan pengganas, pembunuhan dan rogol sebagai satu kesalahan jenayah.

Eksekutif berdepan penjara hingga tiga tahun jika sabit kesalahan, dan platform media sosial- yang pendapatan tahunan mereka boleh mencecah berpuluh bilion- boleh berdepan denda sehingga 10% pendapatan tahunan mereka.

“Media arus perdana yang menyiarkan bahan sebegitu boleh memberi risiko kepada lesen (operasi) dan tidak ada sebab mengapa platform media sosial perlu dilayan berbeza,” kata Porter.

Kerajaan setakat ini masih belum berpuas hati dengan maklum balas gergasi media sosial pada pertemuan dengan Morrison, kata Menteri Komunikasi Mitcch Fifield kepada wartawan pada Sabtu.

Facebook pada Selasa lalu berkata, ia “komited untuk bekerja dengan pemimpin dan komuniti” seluruh dunia bagi “membantu memerangi ucapan kebencian dan ancaman keganasan”. Syarikat itu enggan mengulas perkembangan terbaru hari ini berkenaan komen Fifield.

Pakar keselamatan siber Nigel Phair pula ragu-ragu dengan cadangan akta terbaru Australia mahu memenjara pesalah.

Proses ekstradisi sangat rumit dan ia hanya untuk “jenayah berat”, kata pensyarah University of New South Wales dan bekas pegawai polis itu kepada AFP, apatah lagi eksekutif di Australia bukanlah “pembuat keputusan” syarikat.

“Penjara adalah untuk pesalah ganas bukan wakil pemasaran di Australia (yang bekerja untuk) sebuah syarikat media sosial Amerika,” tambahnya. – AFP, 30 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen