New York isytihar darurat wabak campak, ratusan divaksin


Dalam tempoh darurat itu, Rockland County mengharamkan kanak-kanak bawah umur yang tidak divaksin daripada berada di kawasan awam untuk menghalang wabak yang pernah dihapuskan itu terus merebak. – Gambar EPA, 30 Mac, 2019.

SEBUAH daerah di New York yang mengisytiharkan darurat kerana wabak demam campak berada dalam “laluan betul” selepas melaksanakan suntikan vaksinisasi selama dua hari, kata ketua daerah itu pada Jumaat.

Dalam tempoh darurat itu, Rockland County mengharamkan kanak-kanak bawah umur yang tidak divaksin daripada berada di kawasan awam untuk menghalang wabak yang pernah dihapuskan itu terus merebak.

Dirancang selama 30 hari bermula malam Rabu lepas, darurat itu diisytiharkan ketika AS berdepan peningkatan kes demam campak, dikaitkan dengan pergerakan anti vaksin.

“Kami sudah melaksanakan lebih 500 (vaksinisasi baharu) sejak beberapa hari lepas,” kata Eksekkutif Rockland County Ed Day kepada CNBC.

“Orang awam mula faham yang kami serius tentang ini,” tambah Day, yang daerah dikawalnya terletak 40 kilometer dari utara New York.

“Kami percaya kami berada dalam laluan tepat untuk mencapai sekurang-kurangnya 93% kadar vaksinisasi,” tahap yang dianggap perlu untuk menghapuskan wabak itu.

Walaupun demam campak diisytiharkan terhapus di AS pada 2000, lima negeri dilanda wabak penyakit itu tahun ini sahaja, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC).

Wabak itu dikaitkan dengan mereka yang membawa penyakit itu dari negara luar, dan majoriti yang mendapat demam campak tidak divaksin, kata CDC lagi.

Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) sudah memberi amaran perkembangan pergerakan anti vaksin di negara maju termasuk dalam 10 ancaman kesihatan dunia.

Fenomena itu berkembang pesat di beberapa negara barat, termasuklah Britain dan Perancis, dan sangat terkenal di AS.

Antara 1 Januari hingga 21 Mac lalu, terdapat 314 kes demam campak di AS, kata CDC.

Rockland County dengan populasi lebih 300,000 orang, mendaftarkan 157 kes pada Jumaat.

Walaupun kempen vaksinisasi besar-besaran dilancar sejak wabak tercetus pada Oktober, sekitar 27% kanak-kanak bawah 18 tahun masih tidak divaksin, kata Day awal minggu ini.

Kejiranan paling teruk terjejas adalah kawasan ultra ortodok Yahudi yang menentang vaksinisasi atas sebab agama.

Kebanyakan vaksinisasi secara teorinya adalah wajib untuk kanak-kanak yang menghadiri sekolah awam di AS. Tetapi 47 daripada 50 negeri membenarkan pengecualian atas sebab agama, moral dan peribadi.

Negeri Washington, Januari lepas mengisytiharkan darurat kerana wabak demam campak, penyakit mudah larat udara menyebabkan demam, batuk dan ruam yang boleh membawa maut dalam kes tertentu.

Day pada Jumaat menggesa peraturan lebih ketat untuk vaksinisasi sekolah dan berkata rang undang-undang itu sedang dibincang di peringkat negeri. – AFP, 30 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen