LAPORAN Majlis Penasihat Kerajaan dirahsiakan kerana sesetengah perkara masih dibincangkan dan tidak boleh didedahkan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau mengulas kritikan yang timbul ke atas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih enggan mendedahkan laporan tersebut kepada umum.
“Ya, kerajaan dituduh tidak telus. Saya tidak tahu apa yang kita tidak beritahu kerana kita beritahu rakyat segala-galanya.
“Tapi ada perkara masih dibincangkan yang kita tidak boleh dedah sehingga keputusan dicapai. Ia akan mengambil sedikit masa,” katanya kepada pemberita di Langkawi hari ini.
Majlis Penasihat dibentuk selepas kejayaan PH menakluk Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lepas.
Tugas utamanya adalah untuk menasihati kerajaan tentang cara dan kaedah menangani beban hutang besar Malaysia yang ditinggalkan pentadbiran Barisan Nasional dipimpin Najib Razak.
Laporan itu disiapkan berdasarkan pertemuan Majlis Penasihat dengan pelbagai pakar dan pihak berkepentingan dalam tempoh 100 hari PH mentadbir Putrajaya.
Tindakan kerajaan merahsiakan dokumen itu bawah Akta Rahsia Rasmi menerima kritikan pelbagai pihak.
Kalangan ahli Majlis Penasihat juga berpendapat kandungan laporan itu patut didedahkan kepada umum namun menyerahkan keputusan tersebut kepada kerajaan.
Daim Zainuddin yang mengetuai Majlis Penasihat turut menggesa hasil laporan didedahkan walaupun menyerahkan keputusannya kepada kerajaan.
Beliau, bagaimanapun, bersetuju yang ada perkara dalam laporan adalah rahsia negara.
Dr Mahathir hari ini berkata, tindakan Najib ketika mentadbir mengheret negara ke dalam masalah.
“Saya tahu rakyat tak peduli apa Najib buat, tetapi realitinya, tindakannya menyusahkan negara untuk pulih,” katanya.
“Hutang terlalu tinggi. Banyak lagi perkara berlaku waktu dia mentadbir. Perjanjian yang menyebabkan Malaysia rugi ditandatangani, dan untuk membatalkan kontrak tersebut, kita terpaksa bayar pampasan kepada kontraktor.
“Ini menyebabkan kos tinggi, mengancam kewangan negara kita. Kerana itulah kita tak mampu beri layanan sama kepada rakyat seperti mana Najib, seperti duit percuma.
“Dia guna duit curi. Kita bukan pencuri atau kleptokrat. Kita tak curi duit. Kita cuba hasilkan perolehan (pendapatan) sebanyak mungkin,” katanya.
Apabila ditanya apa yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet di Sri Kijang BNM Resort di Langkawi semalam, jawab Dr Mahathir ringkas: “apa yang dibincang adalah rahsia.” – 30 Mac, 2019.
Komen