PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat berkata beliau memutuskan untuk menghentikan sekatan tambahan ke atas Korea Utara kerana berpendapat langkah itu tidak perlu dilakukan ketika ini, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.
Bercakap dalam sidang akhbar di Florida, Trump menjelaskan kekeliruan berhubung langkah yang dimaksudkannya apabila mengumumkan minggu lepas bahawa beliau telah mengarahkan agar sekatan tambahan itu ditarik balik.
Pada mulanya, ramai berpendapat Trump menarik balik sekatan Jabatan Perbendaharaan AS ke atas dua syarikat perkapalan China yang didakwa membantu Korea Utara mengelak sekatan itu.
Bagaimanapun, laporan selepas itu memetik kenyataan pegawai AS yang menyebut bahawa apa yang dimaksudkan presiden itu merujuk kepada sekatan yang akan dikenakan pada masa akan datang.
Trump telah disoal oleh pemberita pada Jumaat sama ada beliau marah dengan sekatan yang dikenakan Jabatan Perbendaharaan.
“Tidak sama sekali… mereka berhak berbuat demikian. Saya hanya memutuskan bahawa saya tidak akan membiarkan ia berlaku.”
Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un mengadakan sidang kemuncak kedua mereka di Vietnam bulan lepas dalam usaha memajukan perjanjian pembasmian senjata nuklear yang dicapai pada sidang kemuncak pertama di Singapura pada Jun tahun lepas.
Sidang kemuncak Hanoi berakhir tanpa sebarang kata sepakat susulan desakan AS agar Korea Utara melaksanakan pembasmian senjata nuklear sepenuhnya manakala Korea Utara pula mendesak agar AS melonggarkan sekatan ke atas negara itu.
Begitupun, Trump telah menyatakan kesediaan beliau untuk meneruskan rundingan.
“Saya mempunyai hubungan yang amat baik dengan Kim Jong-un. Beliau adalah sesorang yang saya selesa untuk bergaul. Kami memahami antara satu sama lain,” kata presiden itu.
“Mereka sedang menderita di Korea Utara. Mereka berdepan masa yang sukar dan saya tidak rasa sekatan tambahan pada masa ini adalah sesuatu yang perlu dilakukan. Tetapi ini tidak bermakna saya tidak akan mengenakannya kemudian, cuma saya tidak rasa sekatan itu tidak perlu pada masa ini.” – Bernama, 30 Mac, 2019.
Komen