Pengumuman dividen LTAT lambat kerana audit, kata Mat Sabu 


Chan Kok Leong

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata kementeriannya sedang diaudit oleh Ketua Audit Negara Ambrin Buang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2019

DIVIDEN Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2018 lambat diumum kerana proses audit sedang dijalankan, kata Mohamad Sabu di Langkawi, hari ini.

“Kita lambat kerana terdapat akaun yang masih belum selesai. Kita perlu periksa akan ini kerana MinDef kini sedang diaudit oleh Ketua Audit Negara Ambrin Buang. Ia akan mengambil sedikit masa kerana akaun itu perlu diaudit,” katanya yang merupakan menteri pertahanan.

Mohamad berkata, dividen LTAT sebelum ini tidak selari dengan pengesyoran audit dalaman, namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Disember lalu, Mohamad berkata LTAT akan mengumumkan dividen 2018 pada Februari.

LTAT mengumumkan dividen dan bonus sebanyak 12.5% pada 2017, iaitu lebih tinggi berbanding purata 11.3% sejak ia ditubuhkan 45 tahun lalu.

Enam peratus daripada bayaran 2017 adalah dividen dan 6.5% adalah bonus khas.

Semalam, bekas perdana menteri Najib Razak dalam sebuah status Facebook turut mempersoalkan beberapa dana amanah yang lewat mengagihkan dividen kepada pencarum.

Beliau turut mempersoalkan nilai dividen dana amanah yang katanya semakin rendah di bawah pentadbiran kerajaan baharu.

“Ini konsisten dengan kadar dividen ASB dan ASN yang diumumkan pada bulan Disember lalu yang juga merupakan kadar dividen paling rendah dalam sejarah PNB.

“Adakah dividen Tabung Haji, LTAT dan Bank Rakyat yang masih belum diumumkan akan mengalami nasib yang sama?” soal beliau lagi. – 30 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen