Facebook pada hari Jumaat mengatakan ia akan mengetatkan peraturan siaran video secara langsung sebagai respons terhadap siaran serangan ganas yang mengunakan platform itu di masjid New Zealand.
Serangan Christchurch yang mengejutkan itu dilakukan oleh seorang pelampau ketuanan kulit putih dengan menembak secara melulu ke arah pengunjung masjid sehingga mengorbankan 50 nyawa.
Ramai orang “mempersoalkan bagaimana platform dalam talian seperti Facebook digunakan untuk menyiarkan video serangan itu,” kata ketua pegawai operasi Sheryl Sandberg dalam sebuah kenyataan.
“Berikutan serangan pengganas, kami mengambil tiga langkah: mengetatkan peraturan untuk menggunakan Facebook Live, mengambil langkah selanjutnya untuk menangani kebencian terhadap platform kami, dan menyokong komuniti New Zealand,” tambahnya.
Facebook sedang meneliti untuk menyekat akses mereka yang melanggar piawaian komuniti rangkaian sosial pada platformnya, menurut Sandberg.
Rangkaian sosial terkenal itu juga berkata akan turut melabur dalam meningkatkan perisian bagi mengenal pasti dengan cepat video atau imej ganas bagi mengelakkannya daripada dikongsi atau dipos semula.
“Walaupun video serangan asal New Zealand dikongsi secara langsung, kami tahu bahawa video tersebut terus beredar terutamanya melalui mereka yang berkongsi semula dan menyuntingnya semula menjadikan lebih sukar bagi sistem kami untuk menyekatnya,” kata Sandberg. – AFP, 30 Mac, 2019.
Komen