PELAKON Amerika Syarikat, George Clooney menyeru agar orang ramai memboikot sembilan hotel milik Brunei selepas kerajaan negara itu mengumumkan hukuman mati untuk kesalahan seks gay dan zina.
“Setiap kali kita menginap, mengadakan mesyuarat, atau makan di mana-mana sembilan hotel ini, kita meletakkan wang secara langsung ke dalam poket mereka yang memilih untuk merejam dan merotan orang sehingga mati warganegarnya sendiri kerana menjadi gay atau dituduh berzina,” tulis Clooney di laman web Deadline Hollywood.
“Saya lihat selama bertahun-tahun berurusan dengan rejim pembunuh yang anda tak boleh malukan mereka, tetapi anda boleh memalukan bank, pembiaya dan institusi yang melakukan perniagaan dengan mereka yang memilih untuk tidak mempedulikan (keputusan itu),” katanya.
Sembilan hotel tersebut terletak di AS, Britain, Perancis dan Itali.
Brunei akan melaksanakan undang-undang baru yang keras - yang akan menyaksikan tangan dan kaki boleh dipotong bagi kesalahan mencuri - mulai Rabu depan.
Homoseksual adalah sebuah perkara yang menyalahi undang-undang dalam kesultanan kecil tersebut, tetapi sekarang ia akan menjadi kesalahan yang berat. Undang-undang itu dikatakan hanya terpakai kepada orang Islam.
Brunei pertama kali mengumumkan langkah-langkah untuk memperkenalkan undang-undang tersebut, pada tahun 2013, tetapi pelaksanaannya telah ditangguhkan kerana pihak berkuasa sedang mengkaji butiran praktikal dan di samping ia juga dikritik dan dibantah oleh kumpulan hak.
Clooney terkenal dengan aktivisme politiknya dan sering mengembara di seluruh dunia, terutamanya bagi kempen beliau untuk menarik perhatian global berkenaan konflik di rantau Darfur Sudan. – 30 Mac, 2019.
Komen