Ibu bapa masih bergelut masalah kesihatan anak akibat pencemaran


Noel Achariam

Pemilik kedai dobi, Idham Wazir A. Wahab mahu maklum balas segera dari kerajaan berhubung pampasan dan penjelasan mengenai kesan jangka panjang terhadap kesihatan anaknya yang terkesan akibat pencemaran Sungai Kim Kim.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 Mac, 2019

KUALITI udara di sekitar Sungai Kim Kim di Johor, yang dijadikan tempat pembuangan sisa kimia awal bulan ini, mungkin diisytihar selamat oleh pihak berkuasa, namun ibu bapa masih bergelut dengan anak-anak yang trauma dan berdepan masalah kesihatan. 

Beberapa ibu bapa memberitahu The Malaysian Insight, anak-anak mereka masih belum pulih akibat pencemaran itu, yang hanya dikesan selepas pelajar sekolah mula jatuh sakit akibat terhidu wasap kimia daripada sungai berkenaan. 

Ibu bapa terbabit juga berharap kerajaan negeri dan persekutuan dapat memberikan bantuan dalam bentuk pampasan, dan menyatakan impak jangka panjang terhadap anak-anak mereka serta langkah yang diambil untuk kawasan perumahan mereka yang terletak berhampiran kawasan perindustrian di Pasir Gudang. 

Naib presiden jawatankuasa bertindak Taman Pasir Putih Rafea Abdullah berkata, penduduk dimaklumkan kualiti udara di kawasan terbabit semakin pulih dan kebanyakan keluarga terlibat telah kembali ke kediaman masing-masing. 

“Kira-kira 90% penduduk sudah kembali ke kediaman mereka. Namun, ibu bapa masih bimbang dengan anak-anak mereka yang akan mula bersekolah esok.

Naib presiden jawatankuasa bertindak Taman Pasir Putih Rafea Abdullah berkata, rata-rata penduduk masih ragu-ragu dengan jaminan yang diberikan oleh agenssi berkaitan mengenai keadaan udara di kawasan terbabit. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 Mac, 2019 

“Kami masih ragu-ragu dan mahu pihak berkuasa menjelaskan sama ada terdapat sebarang isu jangka panjang di sini. 

“Kami akan hantar anak-anak ke sekolah, tetapi kami akan ambil langkah berjaga-jaga dan memastikan mereka memakai topeng muka dan tiada aktiviti luar dijalankan,” kata Rafea, 46, kepada The Malaysian Insight. 

Kesemua 111 sekolah di Pasir Gudang diarahkan tutup sejak krisis melanda kawasan berkenaan pada 7 Mac apabila pelajar sekolah mula jatuh sakit. Sekolah juga ditutup minggu lalu kerana cuti pertengahan penggal dan dijadualkan buka esok. 

Pembuangan sisa kimia itu menjejaskan kesihatan lebih 1,000 orang, kebanyakannya pelajar di sekolah yang terletak berhampiran Sg Kim Kim. 

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini berkata, kerajaan masih belum memutuskan jumlah pampasan kepada mereka yang terjejas akibat pencemaran itu. 

Namun, pemilik kedai dobi, Idham Wazir A. Wahab, 49, mahu maklum balas segera dari kerajaan. 

Beliau berkata, anaknya yang berusia 12 tahun mengalami masalah berkaitan saraf sejak terhidu udara toksik dan memerlukan pemantauan perubatan. 

“Anak lelaki saya tidak boleh berjalan dengan baik, mahupun naik tangga dan mengalami kekejangan otot. Pakar neurologi berkata, anak saya perlu dipantau dalam masa tiga tahun. 

“Apa akan jadi pada masa depannya?” kata Idham yang mempunyai lima orang anak. 

Idham berkata sekolah rendah anaknya membantu untuk membiayai kos perubatan dan bimbang tentang bil perubatan sekiranya anaknya masih memerlukan rawatan apabila ke sekolah menengah tahun depan.

“Anak saya akan pindah ke sekolah baru tahun depan. Jadi siapa yang akan bayar kos perubatannya?

“Saya juga berterima kasih dengan pihak sekolah sebelum ini kerana bersetuju untuk pindahkan kelasnya dari tingkat tiga ke tingkat satu berikutan keadaannya,” katanya.

Idham berkata, ada ibu bapa yang sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang. 

Seorang penduduk Jamaluddin Abdul Malik turut menggesa kerajaan agar memberikan penjelasan mengenai kesan jangka panjang pencemaran Sungai Kim Kim.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 Mac, 2019

Seorang lagi penduduk, Jamaluddin Abdul Malik, 41, juga berkata anaknya masih dipantau oleh Jabatan Kesihatan dan tertanya-tanya bila mereka akan diberikan bila perubatan bersih.

“Trauma itu masih ada walaupun ada kerja pembersihan dan Jabatan Alam Sekitar berikan jaminan tentang kualiti udara sudah selamat. 

“Minggu depan kami perlu bawa anak untuk pemeriksaan kesihatan lagi,” kata usahawan yang mempunyai enam orang anak itu. 

Jamaluddin berharap pihak berkuasa dapat memberikan penduduk penjelasan lanjut mengenai kesan jangka panjang kepada keluara yang mempunyai anak-anak terlibat. 

“Pembersihan sudah selesai tetapi adakah anak-anak kami selamat? Kami perlukan sebarang bentuk jaminan yang mereka selamat dan insiden itu tidak akan berulang,” katanya. 

Setakat ini, tiga individu didakwa kerana membuang sisa buangan kimia ke dalam sungai dan berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000. 

Mereka adalah pengarah syarikat Yap Yoke Liang, 42 dan Wang Jing Cha, 34, dan pemandu lori N Maridass, 35. Wang merupakan warga Singapura. – 30 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen