JABATAN Alam Sekitar (JAS) Johor memberi jaminan bahawa Sungai Kim Kim di Pasir Gudang bebas daripada sebarang pencemaran kimia selepas seluruh kawasan sungai tersebut dibersihkan.
Pengarah jabatan tersebut, Dr Mohammad Ezzani Mat Salleh berkata kualiti udara di kawasan itu selamat di samping mengatakan bahawa ujian menunjukkan pencemaran udara di kawasan itu menunjukkan angka sifar.
“JAS memantau kawasan itu selama 24 jam setiap hari sehingga sekolah dibuka.
“Kawasan ini bebas daripada pencemaran dan air sungai juga selamat untuk disentuh.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga sedang pantau keadaan sungai itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pembuangan bahan kimia yang menyalahi undang-undang ke sungai tersebut dua minggu lalu telah menjejaskan kesihatan lebih daripada 1,000 orang. Kebanyakannya mangsa merupakan pelajar sekolah yang terletak di sepanjang Sungai Kim Kim.
JAS mengatakan bahawa kemungkinan sejumlah 20 tan sisa kimia dibuang ke dalam sungai tersebut sehingga mencetuskan krisis alam sekitar dan kesihatan.
Sebanyak 111 buah sekolah di kawasan itu diperintahkan tutup sejak pencemaran buruk itu dikesan. Sesi pembelajaran dilaporkan akan disambung semula pada hari Isnin depan.
Ezzani berkata jabatan itu sentiasa memantau aktiviti kilang, bukan sahaja di Sungai Kim Kim, bahkan di seluruh Johor.
“Kami akan pantau semua kilang dengan kerap. Berdasarkan jadual mereka, kami akan memastikan semua kilang patuh Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya, sambil menambah bahawa terdapat kira-kira 60 kilang di negeri ini.
“Pemantauan ini akan beri tumpuan kepada tiga perkara utama, iaitu kualiti udara, kualiti air dan pengurusan sisa.”
Ezzani berkata bahawa kilang-kilang di kawasan itu kini perlu melaporkan kepada jabatan itu secara tetap, di samping turut menambah bahawa pegawai-pegawai akan melakukan pemeriksaan susulan secara berkala di kawasan kilang itu dengan lebih kerap.
“Kami beri tumpuan kepada kilang-kilang di sekitar Sungai Kim Kim. Terdapat satu kilang di sini yang perlu lapor kepada kami setiap jam.
“Semua kilang perlu lapor kepada kami setiap minggu atau bulanan berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh JAS.
“Jika mereka tidak lapor atau gagal memberi data, kami akan ambil tindakan seperti denda atau heret mereka ke mahkamah.”
Walaupun jabatan alam sekitar telah memberi jaminan bahawa sungai dan kawasan itu telah dibersihkan daripada sisa kimia, penduduk di kawasan sekitar Sungai Kim Kim dikatakan masih dalam keadaan trauma, apabila ramai penduduk masih tidak mahu pulang ke rumah mereka yang kini kosong.
Mereka berharap kerajaan akan memberi bantuan dalam bentuk pampasan dan langkah jangka panjang untuk kawasan tersebut.
Ezzam memberi jaminan kepada penduduk kawasan itu bahawa jabatan negeri telah melakukan semua usaha bagi memastikan insiden Sg Kim Kim tidak berulang lagi, bagaimanapun beliau mengakui bahawa salah satu cabaran yang dihadapi jabatan alam sekitar adalah kekurangan tenaga kerja dan peralatan.
“Kami harap kerajaan persekutuan boleh bantu kami selesaikan isu ini.”
Beliau menggesa penduduk sekitar Sungai Kim Kim untuk memberi maklumat mengenai sebarang aktiviti yang mencurigakan.
“Kami mahu berikan jaminan orang ramai bahawa kami akan mengambil tindakan dengan segera jika ada orang yang cuba mencemarkan alam sekitar.
“Kami tidak akan berkompromi jika ada yang tidak mematuhi peraturan.” – 30 Mac, 2019.
Komen