Trump ancam tutup pintu sempadan Mexico 'minggu depan'


Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengulangi kenyataan itu menerusi Twitter dan menyalahkan Mexico kerana gagal menangani masalah pendatang haram.– Gambar EPA, 30 Mac, 2019

PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump menuduh Mexico gagal mengekang kemasukan secara haram pendatang asing ke AS, dan mengancam untuk menutup pintu sempadan “minggu hadapan” sekiranya ia tidak berubah.

Trump yang mengulangi kenyataan itu menerusi Twitter mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara.

“Sekiranya Mexico tidak hentikan serta merta kemasukan haram pendatang ke Amerika Syarikat menerusi Sempadan Selatan, saya akan MENUTUP sempadan, atau sebahagian besar sempadan, minggu hadapan,” katanya.

“Ini sangat mudah untuk diselesaikan oleh Mexico, sebaliknya mereka hanya ambil wang kami dan hanya ‘bercakap’,” tambahnya.

Sementara itu, Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador berkata, beliau tidak mahu terjebak dalam konfrontasi berhubung isu itu.

“Donald Trump mempunyai caranya sendiri dalam melihat beberapa perkara,” katanya di timur bandar Poza Rica, ketika melancarkan program sosial baharu.

“Saya ingin jelaskan, kita enggan bertelagah dengan Amerika Syarikat,” katanya.

Namun katanya: “Rakyat di Amerika Tengah tiada pilihan lain, jadi mereka cuba mencari jalan untuk menyara kehidupan. Ia adalah hak asasi manusia. Kita tidak sepatutnya menyelar penghijrahan.”

Terdahulu, Lopez Obrador mengulangi kenyataan bahawa Mexico juga berusaha membanteras isu pendatang haram.  – AFP, 30 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen