Pemimpin Pheu Thai bidas suruhanjaya pilihan raya Thailand


Setiausaha agung parti Pheu Thai, Phumtham Wechayachai menyifatkan pilihan raya umum Thailand kali ini sebagai antara yang paling kotor dalam sejarah. – Gambar EPA 30 Mac, 2019

SETIAUSAHA agung parti Pheu Thai, Phumtham Wechayachai menyifatkan pilihan raya umum Thailand kali ini sebagai antara “yang paling kotor dalam sejarah” negara itu, lapor Bangkok Post.

Beliau menerusi akaun Facebooknya membidas cara suruhanjaya pilihan raya Thailand mengendalikan pilihan raya yang “tidak teratur” dan keputusan yang mengelirukan sekaligus menyebabkan kredibiliti dan ketelusan agensi itu dipersoal.

Malah katanya, pilihan raya berkenaan juga diadakan hanya untuk mengekalkan kuasa “individu” tertentu, yang jelas merujuk kepada Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha.

“Pilihan raya 2019 akan kekal dalam sejarah, seperti pilihan raya pada 1957, sebagai pilihan raya paling kotor dalam sejarah,” tulisnya di Facebook.

Suruhanjaya itu turut berdepan kritikan antaranya mengenai jumlah keluar mengundi yang melonjak hampir 4.5 juta sejak ia diumumkan pada hari pengundian dan jumlah terkini yang diumumkan pada Khamis. 

Bagaimanapun, timbalan setiausaha suruhanjaya itu Krit Urwongse berkata, perbezaan jumlah keluar mengundi itu disebabkan terdapat pengundi yang berdaftar namun tidak menunggu kertas undi dikeluarkan oleh pegawai pilihan raya.

Keputusan tidak rasmi pada Khamis menunjukkan Pheu Thai masih mendahului dengan 137 kerusi, berbanding pesaingnya Palang Pracharath dengan perbezaan 19 kerusi. – 30 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen