WARTAWAN Filipina Maria Ressa yang terkenal dengan kelantangannya mengkritik Presiden Rodrigo Duterte, ditahan semula pada Jumaat dalam apa yang disifatkan oleh pembela kebebasan media sebagai pembalasan di atas liputan berita yang tidak memihak kepada kerajaan.
Amerika Syarikat menggesa Filipina agar menyelesaikan segera kes Ressa dan membenarkan beliau serta portal beritanya, Rappler untuk “beroperasi dengan bebas”.
Ressa dan Rappler berdepan dengan siri pendakwaan jenayah sejak beberapa bulan lalu yang mengejutkan dunia media Filipina, sehingga mencetuskan dakwaan beliau dan kumpulannya menjadi sasaran kerana hasil kerja mereka.
Pendakwaan terbaharu terhadap beliau dan rakan sekerjanya di Rappler adalah kerana melanggar pemilikian asing media. Beliau ditahan sebaik sahaja tiba di lapangan terbang di Manila ketika pulang daripada luar negara.
“Media di negara ini diserang..Kami tidak akan berdiam diri dengan ancaman ini,” kata Ressa kepada pemberita selepas beliau dibebaskan dengan ikat jamin AS$1,700.
“Undang-undang telah dijadikan sebagai senjata.”
Rappler sebelum ini membuat liputan secara meluas ke atas siri serbuan narkotik oleh Duterte yang didakwa menyebabkan ribuan nyawa terkorban dan disifatkan oleh kumpulan hak asasi sebagai jenayah kemanusiaan.
Duterte turut mengambil tindakan terhadap beberapa media lain, termasuk akhbar Philippine Daily Inquirer dan stesen penyiaran ABS-CBN.
Beliau mengancam untuk mengambil tindakan terhadap pemiliknya atas dakwaan tidak membayar cukai atau menyekat permohonan francais rangkaian media itu.
Jurucakap Jabatan Negara AS berkata, AS “bimbang” dengan penahanan Ressa dan menggesa Filipina menghormati kebebasan media.
“Kebebasan bersuara merupakan perkara utama dalam masyarakat demokrasi dan ia diiktiraf oleh kedua-dua Amerika Syarikat dan Filipina,” kata jurucakap berkenaan.
“Maria Ressa merupakan wartawan berpengalaman dan sangat dihormati.
“Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin, dalam cara yang menghormati kebebasan bersuara, membenarkan Ressa dan Rappler terus beroperasi dengan bebas, selaras dengan tradisi Filipina yang menghormati kebebasan media.” – AFP, 30 Mac, 2019
Komen