RAKYAT Palestin di Gaza dijangka akan berhimpun secara besar-besaran di sepanjang sempadan yang memisahkan mereka dengan Israel pada Sabtu, sekaligus menguji gencatan senjata yang dicapai beberapa hari lalu.
Demonstrasi itu menandakan ulang tahun pertama protes yang diadakan di sempadan Israel.
Rundingan yang diadakan beberapa hari sebelum ini meningkatkan harapan bahawa pertumpahan darah dalam perhimpunan besar-besaran sebelum ini, terutamanya melibatkan mereka yang membantah pemindahan kedutaan Amerika Syarikat ke Baitumaqdis Mei lalu, boleh dielakkan.
Peserta demonstrasi itu menggesa agar mereka dibenarkan kembali ke kediaman keluarga yang mereka tinggalkan ketika peperangan Arab-Israel pada 1948, yang kini berada dalam jajahan rejim Israel.
Kembalinya pelarian Palestin itu telah termaktub dalam resolusi Majlis Keselamatan PBB tahun 1948, namun Israel berpendapat bahawa itu akan bermakna berakhirnya negara Yahudi.
Pemerintah Islam Gaza Hamas, yang berjuang dalam tiga peperangan dengan Israel sejak 2008, menggesa jutaan rakyat untuk menyertai demonstrasi pada Sabtu di beberapa lokasi berbeza sepanjang sempadan.
Dua juta penduduk Palestin yang tinggal di Gaza, terhimpit antara Israel, Mesir dan laut Mediterranean.
Israel mengekalkan sekatan sempadan sejak lebih sedekad lalu, dan Mesir sering menutup pintu sempadan di semenanjung Gaza.
Rejim zionis itu berkata, sekatan berkenaan perlu bagi mengekang Hamas, yang tidak diiktiraf mereka.
Menjelang ulang tahun itu, Israel memperkukuhkan kawalan sempadan di banyak lokasi.
Ia turut menambahkan jumlah anggota keselamatannya, dengan ribuan tentera dikerah untuk mengawal di sepanjang sempadan. Berpuluh-puluh anggota penembak tepat turut ditempatkan di pelbagai lokasi.
Wartawan AFP turut menyaksikan kereta perisai milik Israel ditempatkan berhampiran Nahal Oz, dekat utara Gaza. – AFP, 30 Mac, 2019
Komen