NAJIB RAZAK membawa kempen “bossku” ke kubu PAS di Kelantan untuk menjelmakan semula dirinya sebagai wira Melayu dan menarik sokongan penyokong parti Islam itu menjelang perbicaraan kes mahkamahnya minggu depan, dan Pilihan Raya Umum ke-15, kata penganalisis.
Mereka melihat lawatan Najib ke Kelantan, negeri yang ditadbir oleh PAS hampir tiga dekad lalu, sebagai sebahagian usaha Umno menawan hati penyokong tegar parti Islam itu menerima idea pakatan rasmi Barisan Nasional dan PAS dalam PRU15 nanti.
Pengkritik Najib menarik perhatian bahawa bekas perdana menteri itu akan meraih untung daripada pakatan tersebut. Bagaimanapun tidak jelas apakah Najib dapat meyakinkan penyokong kuat PAS setelah namanya terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jelajah “Malu Apa, Bossku”, kata pensyarah sains politik Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, pada lapis luarnya, adalah tentang memulihkan imej Najib.
“Dengan bertemu rakyat, beliau cuba membentuk imej bahawa beliau tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dihadapkan padanya,” kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.
“Dari sisi itu, secara peribadi saya rasa ini sebahagian daripada kempen perhubungan awamnya. Apatah lagi, strategi beliau selama ini pun adalah ‘jenama Najib’,” tambahnya.
Seorang lagi pensyarah politik, Dr Awang Azman Awang Pawi berkata kunjungan ke Kelantan adalah sebahagian daripada pelan Najib untuk kembali ke arus perdana politik dengan meraih sokongan pengundi kelas pekerja Melayu.
“Kita kena tanya mengapa dia sampai nak tunggang motorsikal? Ini kerana dia nak tambat hati Melayu ‘working kelas’. Kerana Melayu kelas menengah sudah menolaknya,” kata Awang Azman, dari Universiti Malaya.

Najib kini berdepan 42 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram terkait dengan berbilion ringgit yang didakwa diselewengkan dari syarikat dana kerajaan 1Malaysia Development Berhad. Najib pengerusi lembaga penasihat 1MDB semasa beliau perdana menteri.
Najib akan mula dibicarakan Rabu ini atas tuduhan salah guna kuasa dan pecah amanah melibatkan RM42 juta dana 1MDB dari bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun peribadinya.
Mengubat luka lama
Najib berada di Kota Bharu semalam, bertemu rakyat di Pasar Siti Khatijah dan selepas itu makan tengah hari bersama pemimpin Umno Kelantan di ibu pejabat parti negeri.
Beliau juga jadi tetamu kehormat di pertandingan tinju siam di Pantai Irama, Bachok. Najib akan pulang ke Kuala Lumpur pagi ini. Beliau dijadual meneruskan siri jelajahnya ke beberapa daerah di utara Selangor esok.
Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata Najib cuba melebarkan jenama “bossku” ke kawasan teras Melayu selepas melihat kejayaan dua pilihan raya kecil baru-baru ini, apabila semua acara beliau menarik kehadiran golongan muda Melayu.
“Beliau mahu menguji jenama “bossku” di negeri yang kuat pengaruh agama Islam serta menguji pengaruh Umno selepas PRU14,” katanya.
Kelantan adalah negeri kedua yang dikunjungi oleh Najib selepas Terengganu hujung minggu lalu, ketika Umno dan PAS berunding memeterai kerjasama politik secara formal. Kedua-dua negeri ditadbir PAS.
Mazlan turut melihat lawatan itu juga untuk mendekatkan penyokong akar umbi PAS dengan Umno kerana di dua negeri itu hubungan penyokong antara dua parti renggang kerana sejarah politik masa lalu.

Semua penganalisis politik ini memberitahu The Malaysian Insight, mereka ragu Najib boleh merapatkan jurang antara penyokong dua parti Melayu itu, khususnya di Kelantan.
PAS disingkirkan dari BN pada 1978 selepas krisis politik negeri di Kelantan yang membawa kepada perisytiharan darurat.
Darurat diisytiharkan selepas Menteri Besar Mohamad Nasir enggan letak jawatan setelah undi tidak percaya terhadap beliau yang disokong oleh 20 wakil rakyat PAS manakala 13 Adun Umno dan seorang Adun MCA keluar dewan sebagai protes.
Setelah PAS menang Kelantan pada 1990, kerajaan negeri yang dipimpin Nik Abdul Aziz Nik Mat mengukuhkan lagi rasa kurang percaya penyokong PAS terhadap Umno.
“Akar umbi di Kelantan ada sejarah permusuhan yang panjang, dan mereka menyasarkan undi dari kelompok yang sama,” kata Tunku Mohar.
“Saya percaya kejayaan (kerjasama Umno-PAS) bergantung bagaimana sambutan pimpinan PAS Kelantan terhadap Najib. Akar umbi di Kelantan menunggu isyarat mereka, dan akan patuh pada pemimpin.” – 30 Mac, 2019.
Komen