Pasukan bedah siasat curiga punca kematian Adib, kata doktor


Alfian Z.M. Tahir

Bedah siasat tidak menunjukkan bukti berlaku serangan fizikal berbeza dengan andaian sebelum ini, kata Pengarah Institut Perubatan Forensik Negara (IFPN) Dr Mohd Shah Mahmood. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 Mac, 2019.

PENGARAH Institut Perubatan Forensik Negara (IFPN) Dr Mohd Shah Mahmood pada mulanya berpandangan Muhammad Adib Mohd Kassim dipukul perusuh dan punca kematian jelas, sehinggalah beliau dipanggil untuk melakukan bedah siasat ke atas mayat anggota bomba itu.

“Bila polis mula-mula panggil saya untuk jalankan pemeriksaan perubatan, saya ingat kes ini jelas (puncanya).”

“Pasukan perubatan memang menganggap Adib diserang tetapi selepas penilaian kami, kecederaan dialami allahyarham tidak sepadan dengan mana-mana petunjuk serangan fizikal,” katanya tengahari tadi.

Dr Mohd Shah juga menambah yang pasukannya semakin curiga dengan punca sebenar kematian selepas menemui tujuh tulang rusuk Adib patah.

“Kami mempersoalkan bagaimana tulang rusuh Adib patah kerana ia tidak dilaporkan kepada kami sebelum ini. Kami mula bertanya banyak soalan.”

“Walaupun selepas bedah siasat tamat, kami tak mampu membantu polis mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Menurut Dr Mohd Shah lagi, lakonan semula kejadian itu membantu pasukan perubatan menentukan punca kematian.

“Dengan bantuan lakonan semula, kami mampu melibat gambaran lebih jelas bagaimana tulang rusuk Adib patah.”

“Ditambah dengan fakta lain diberikan, kami boleh beri jawapan,” katanya.

Pagi tadi, Dr Mohd Shah memberitahu Mahkamah Koroner yang pasukan perubatannya tidak dimaklumkan tentang tulang rusuk Adib yang patah dan hanya menemuinya ketika bedah siasat. 

“Hanya apabila bedah siasat dijalankan kami dapati Adib mengalami patah tujuh tulang rusuk di bahagian kiri belakang badannya. 

“Kecederaan itu terlalu unik. Ianya lurus dan kami percaya ia disebabkan hentakan kuat daripada objek tumpul,” kata Dr Mohd Shah. 

Bedah siasat pertama dijalankan pada 18 Disember tahun lalu, sehari selepas Adib meninggal dunia. – 29 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen