China hargai Kazakhstan ‘sokong’ operasi tindas Xinjiang


China sedang menahan sejuta rakyatnya yang berketurunan etnik Uighur dan etnik Islam lain dalam kem tahanan dikawal ketat di kawasan itu, jumlah itu dikeluarkan panel siasatan PBB. – Gambar EPA, 29 Mac, 2019.

CHINA berterima kasih kepada sokongan Kazakhstan dalam usahanya mengekang kumpulan etnik minoriti di Xinjiang, di mana Beijing dituduh mencabul hak asasi manusia minoriti termasuk etnik Kazakh.

China sedang menahan sejuta rakyatnya yang berketurunan etnik Uighur dan etnik Islam lain dalam kem tahanan dikawal ketat di kawasan itu, jumlah itu dikeluarkan panel siasatan PBB.

Beijing menafikan tuduhan itu, berkata ia menubuhkan pusat pendidikan dalam usaha memerangi pelampau Islam dan pemisah di Xinjiang.

Pada Khamis, Menteri Luar China Wang Yi bertemu rakan sejawat Kazakhstan, Beibut Atamkulov di Beijing.

Menurut kenyataan Kementerian Luar China, Atamkulov berkata negaranya “memahami dan menyokong langkah diambil China di Xinjiang” untuk mengekang keganasan, pemisah dan pelampau.

“Kami menghargai kefahaman dan sokongan kerajaan Kazakhstan tentang pendirian China,” kata Wong dalam kenyataan itu.

“Kami tidak akan membenarkan sesiapa, atau mana-mana pihak untuk mempertikai persahabatan dan kepercayaan bersama China-Kazakhstan,” tambahnya.

Kementerian Luar Kazakhstan tidak menyebut tentang Xinjiang dalam kenyataan dikeluarkannya mengenai lawatan Atamkulov ke China.

Tetapi, menyebut kedua-dua diplomat itu membincangkan “isu situasi etnik Kazakh yang tinggal” di China.

Kazakhstan, negara kaya minyak, berkongsi sempadan dengan daerah Xinjiang, bergelut dengan ketegangan diplomatik selepas rakan dagang terbesarnya, China, mula menghantar etnik Kazakh secara paksa ke kem tahanan menerusi dasar anti keganasannya.

Salah seorang bekas tahanan, warga Kazakh yang dilahirkan di Xinjiang, memberitahu AFP yang kem itu hanya ada satu matlamat- untuk menghapuskan kepercayaan agama tahanannya.

Omir Bekali, yang ditahan pada 2017 selepas kembali ke Xinjiang untuk urusan perniagaan syarikat pelancongannya, berkata tahanan dilarang bersolat atau berjambang, dipaksa makan daging babi pada Jumaat.

Awal bulan ini, aktivis hak Xinjiang, Serikjan Bilash, yang mengetuai kempen kesedaran dengan tumpuan kepada mangsa etnik Kazakh ditahan di Kazakhstan.

Dia didakwa kerana mencetuskan ketegangan hubungan kaum, tetapi dibebaskan daripada tahanan dan diletakkan dalam tahanan rumah selama dua bulan.

Pada Oktober, seorang warga China yang berjaya melepaskan diri memberi keterangan di mahkamah tentang seorang bekas tahanan kem tahanan itu dinafikan perlindungan politik di Kazakhstan, di mana keluarganya berada. – AFP, 29 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen