PARLIMEN United Kingdom pada Jumaat akan mengundi buat kali ketiga usul berkaitan perjanjian Brexit yang ditawarkan Perdana Menteri Theresa May.
Ia telah dua kali ditolak sebelum ini namun pada Khamis, Speaker Parlimen Britain John Bercow memberi kebenaran untuk ahli Parlimen melakukan undian pada Jumaat.
“Ini adalah satu usul baharu, amat berbeza,” kata speaker Dewan Rakyat itu.
Bercow telah menyekat undian sebelum ini dengan mengguna pakai statut abad ke-17 bagi menghentikan ahli Parlimen daripada mengundi teks yang sama beberapa kali.
Undian itu akan mengikat secara undang-undang perjanjian keluar yang dirundingkan dengan Brussels dan bukan perisytiharan politik yang mengiringinya berkaitan hubungan pada masa depan.
Undian Parlimen selanjutnya masih diperlukan bagi melaksanakan Brexit sebelum Britain boleh meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).
Andrea Leadsom, yang mewakili kerajaan dalam Parlimen, berkata pengundian berkaitan perjanjian keluar itu akan mematuhi kesimpulan sidang kemuncak EU minggu lepas yang membenarkan Brexit ditangguh sehingga 22 Mei.
Tawaran itu dibuat dengan syarat perjanjian tersebut diterima menjelang jam 2300 GMT pada Jumaat, yang asalnya ditetapkan sebagai tarikh Brexit.
“Saya menggalakkan semua anggota parlimen agar menyokong dan memastikan bahawa kita akan meninggalkan EU pada 22 Mei, sekali gus memberikan kepastian yang diperlukan kepada rakyat dan entiti perniagaan,” kata Leadsom. – Bernama, 29 Mac, 2019.
Komen