Terowong bawah laut siap untuk saluran paip gas China-Rusia


Pembinaan dua terowong bawah laut bagi laluan timur saluran paip gas asli China-Rusia siap dan lulus pemeriksaan penerimaan. – Gambar AFP, 29 Mac, 2019.

PEMBINAAN dua terowong bawah laut bagi laluan timur saluran paip gas asli China-Rusia siap dan lulus pemeriksaan penerimaan, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan syarikat pembinaan.

Kedua-dua terowong, setiap satu sepanjang 1,139 meter, menghubungkan Heihe di timur laut wilayah Heilongjiang, China dan Blagoveshchensk di Rusia.

Projek ini melewati Sungai Heilongjiang di sepanjang sempadan Sino-Rusia.

Para pekerja terpaksa mengatasi cabaran seperti cuaca sejuk yang ekstrem dan bentuk muka bumi yang rumit bagi menyiapkan projek itu.

Projek itu disiapkan dalam tempoh yang dijadualkan dengan kualiti tinggi, kata pemeriksa SGS SA, selepas mengikuti keseluruhan proses bersama-sama China Petroleum Pipeline Engineering Co Ltd, syarikat pembinaan China.

Saluran paip gas asli bagi laluan timur laut China-Rusia bagi seksyen China sepanjang 3,371 kilometer bermula dari Heihe dan berakhir di Shanghai.

Pembinaan bermula pada Jun 2015 dan dijangka siap menjelang 2020.

Bahagian saluran paip gas bagi Rusia, yang bermula pada 1 September, 2014 akan menghubungkan telaga gas Kovyktin dan Chayandin di Siberia dengan timur bandar pelabuhan Vladivostok, meliputi jarak hampir 4,000km.

Apabila siap, saluran paip itu dijangka menyediakan China dengan 38 bilion meter padu gas asli dari Rusia setiap tahun. – Bernama, 29 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen