MAHKAMAH Persekutuan melepaskan peguam terkemuka Cecil Abraham daripada tuduhan salah laku profesional berkaitan dengan satu akuan berkanun yang disediakannya untuk penyiasat peribadi, mendiang P. Balasubramaniam.
Panel empat hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak David Wong serta hakim Ramly Ali dan Mohd Zawawi Salleh menolak aduan masalah disiplin yang dikemukakan oleh Badan Peguam Malaysia.
Hakim Balia Yusof Wahi, yang sebelum ini turut dalam panel itu, bersara minggu lalu.
Wong ketika menyampaikan penghakiman secara lisan berkata kumpulan peguam itu gagal membuktikan melangkaui keraguan munasabah dalam tuduhan salah laku terhadap Abraham. Tiada kos diberikan kepada Abraham.
Tahun lalu, Majlis Peguam Malaysia gagal dalam rayuannya terhadap keputusan Lembaga Disiplin Peguam bela dan Peguam cara membebaskan Abraham daripada salah laku.
Ia berhubung dengan akuan berkanun kedua (SD2) oleh Balasubramaniam atau PI Bala, yang dikatakan melepaskan bekas perdana menteri Najib Razak daripada sebarang pembabitan dalam kes pembunuhan berprofil tinggi model Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Badan peguam diwakili peguam Bastian Vendargon, sementara Abraham diwakili Rishwant Singh.
Susulan perbicaraan aduan terhadap Abraham pada Februari, 2015, lembaga disiplin itu mendapati tidak ada sebab untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap peguam kanan itu.
Majlis Peguam kemudian memfailkan rayuan menerusi saman pemula pada 11 Mac, 2016, memohon mengetepikan keputusan lembaga disiplin itu.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan itu pada 5 Disember, 2016, menyebabkan ia dibawa ke Mahkamah Rayuan. – 29 Mac, 2019.
Komen