Tulang rusuk Adib patah hanya diketahui ketika bedah siasat, kata doktor


Alfian Z.M. Tahir

Pengarah Institut Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Mohd Shah Mahmood ketika hadir di Komplek Mahkamah Shah Alam hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 Mac, 2019

PAKAR Patologi dari Hospital Kuala Lumpur mengetahui Muhammad Adib Mohd Kassim mengalami patah tujuh tulang rusuk hanya selepas bedah siasat dijalankan, kata doktor kepada inkues kematian anggota bomba itu hari ini. 

Pasukan doktor yang menjalankan bedah siasat itu tidak dimaklumkan tentang kecederaan pada rusuknya sebelum kematian Adib, kata pengarah Institut Perubatan Forensik, Dr Mohd Shah Mahmood.

“Hanya apabila bedah siasat dijalankan kami dapati Adib mengalami patah tujuh tulang rusuk di bahagian kiri belakang badannya. 

“Kecederaan itu terlalu unik. Ianya adalah lurus dan kami percaya ia disebabkan hentakan kuat daripada objek tumpul,” kata Dr Mohd Shah. 

Bedah siasat pertama dijalankan pada 18 Disember tahun lalu, iaitu sehari selepas Adib meninggal dunia akibat kecederaannya. 

Menurut Dr Mohd Shah, yang menjalankan pemeriksaan klinikal terhadap Adib pada 30 November beberapa hari selepas beliau dimasukkan ke hospital, domtor tidak menemui sebarang petanda patah tulang rusuk. 

“Jadi, apabila kami mendapati terdapat tulang rusuk patah ketika bedah siasat, saya mengarahkan pegawai penyiasat untuk melihat semula sebarang x-ray yang dijalankan ketika dirawat di Pusat Perubatan Subang Jaya,” katanya kepada inkues.

Minggu lalu, pakar patologi Dr Ahmad Hafizam Hasmi memberitahu inkues tulang rusuk Adib mungkin sudah patah ketika dirawat di SJMC dan kemudian di Institut Jantung Negara (IJN).

Hafizam berkata imbasan CT yang dibuat oleh SJMC menunjukkan dua tulang rusuk kirinya patah.

Bagaimanapun, ketika bedah siasat beliau mendapati tulang rusuk ketiga hingga ketujuh Adib “hancur sepenuhnya”.

Mengulas lanjut, Dr Shah hari ini berkata, ketika melakonkan semua insiden itu, beliau memadankan corak kecederaan yang dialami Adib dengan keadaan van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang digunakan anggota bomba ketika insiden rusuhan kuil Sri Maha Mariamman Seafield.

“Hanya apabila saya memeriksa kenderaan itu saya boleh padankan corak kecederaan dengan keadaan van. Kecederaan di badannya disebabkan oleh bahan nipis yang keras, seperti pintu van, dan berlaku ketika van itu mengundur.

“Saya membuat kesimpulan bahawa terdapat tiga fasa insiden.

“Pertama, apabila bahagian bawah pintu mengenai dada kanan, menyebabkan kesan calar panjang di abdomen kanan. Ini berlaku dalam situasi panik ketika van itu mengundur.

“Kedua, ketiga keadaan huru-hara, pintu yang terbuka, ditambah dengan momentum van bergerak ke belakang, menghentam bahagian kiri belakang badan Adib, menyebabkan beliau hilang keseimbangan badan dan terjatuh. Pintu itu nipis dan keras; ia sepadan dengan kecederaan yang ditemui di bahagian belakang badan.”

Beliau berkata, fasa ketiga adalah apabila Adib terjatuh dan menghentam permukaan rata dan keras.

“Semua ini berlaku sangat pantas dan kuasanya sangat kuat,” kata Dr Shah.

“Adib tidak terperangkap antara pintu. Ianya mustahil,” tambahnya.

Adib merupakan antara petugas kecemasan yang dihantar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya pada 27 November, 2018 ke kuil berkenaan selepas menerima panggilan terdapat kebakaran kereta.

Beliau mengalami kecederaan ketika insiden itu dan meninggal dunia di IJN pada 17 Disember. – 29 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen