WANITA Vietnam, tertuduh dalam kes pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara dijangka mengetahui keputusan rayuan keduanya untuk dibebaskan, minggu depan, kata peguamnya.
Doan Thi Huong, 30, dituduh membunuh Kim Jong Nam menggunakan ejen saraf VX di klia2 pada 2017, dan mengejutkan dunia dengan cara pembunuhan seperti zaman Perang Dingin.
Tertuduh bersamanya – Siti Aisyah dari Indonesia – dibebaskan awal bulan ini selepas pendakwa raya menggugurkan pertuduhan membunuh, dipercayai susulan tekanan dari Jakarta.
Tetapi beberapa hari kemudian, permohonan Huong untuk pertuduhan terhadapnya digugurkan, ditolak, mencetuskan kemarahan di Vietnam dan dituduh berlaku layanan tidak adil.
Peguamnya kemudian memfailkan permohonan kedua kepada peguam negara memohon pembebasannya, dan keputusan mahkamah dijangka diperoleh pada Isnin.
“Representasi kedua sangat penting untuk peguam negara mempertimbangkan semula penolakannya terhadap representasi awal,” kata peguam Hisyam Teh Poh Teik.
“Huong mungkin bebas seperti Aisyah, atau pertuduhan dikurangkan atau paling teruk, perbicaraan terhadapnya diteruskan,” katanya.
Jika perbicaraan bersambung, Huong dijadualkan untuk memberi keterangan.
Selepas pendakwa raya enggan menggugurkan pertuduhan terhadap Huong, dia menangis di kandang tertuduh dan terpaksa dipapah keluar oleh polis.
Huong dan Aisyah mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh Kim, bertegas mengatakan mereka tertipu oleh perisik Korea Utara hingga melakukan pembunuhan itu, dan mereka percaya ia hanya helah untuk rancangan realiti TV.
Huong kini menjadi satu-satunya tertuduh dalam kes itu dan berdepan hukuman mati jika disabitkan. Peguamnya berkata dia dijadikan kambing hitam dan dalangnya ialah empat warga Korea Utara yang melarikan diri dari Malaysia sejurus selepas pembunuhan itu.
Korea Selatan menuduh Pyongyang merancang pembunuhan Kim yang hidup dalam buangan, yang pernah dilihat sebagai waris bakal pemimpin Korea Utara. Korea Utara menafikan tuduhan itu. – AFP, 29 Mac, 2019.
Komen