Lepas 50 tahun cerai, wanita di California dapat nafkah anak AS$150,000


Toni Anderson bersama anak perempuannya dalam satu gambar lama. Selepas bercerai dengan bekas suaminya, dia sendirian membesarkan anak mereka apabila tidak menerima nafkah anak. – Gambar AFP, 29 Mac, 2019.

SEORANG wanita berusia 74 tahun di California akhirnya akan menerima bayaran nafkah anak sebanyak AS$150,000 daripada bekas suaminya yang berdekad-dekad culas membayar dan sering berpindah randah sehingga lari ke Kanada.

Toni Anderson berkata dia sendirian membesarkan anak perempuan mereka yang kini berusia 52 tahun sejak bercerai pada hujung 1960-an.

Bekas suaminya Donald Lenhart sepatutnya membayar nafkah anak sebanyak AS$210 sebulan bagi tempoh lebih 30 bulan dan kemudian AS$160 sebulan sehingga anak mereka berusia 18 tahun.

Bagaimanapun, Lenhart gagal membuat sebarang bayaran dan kemudian berpindah ke Kanada dengan pasangan baharunya di mana dia mempunyai dua lagi anak.

“Dia hilang,” kata Anderson, seorang pereka dalaman bersara dari Carlsbad, San Diego.

Anderson berkata dia terpaksa melakukan beberapa kerja dan bergantung pada setem makanan untuk meneruskan kehidupan dan membiayai anaknya sepanjang berada di kolej.

Katanya, tahun lalu dia mula mengetahui bahawa di bawah undang-undang California dia masih layak mendapat nafkah anak dan kemudian menjejaki bekas suaminya itu yang kini tinggal di Oregeon.

Anderson berkata dia terkejut apabila Lenhart hadir ke prosiding mahkamah minggu lalu selepas menerima saman, dan memohon maaf.

Jumlah hutang Lenhart ialah AS$35,000 tetapi meningkat kepada AS$160,000 dengan faedah dan hukuman. Tetapi mereka bersetuju untuk Lenhart membayar AS$150,000 dan perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun.

“Saya sangat gembira kerana selama bertahun-tahun saya sentiasa panik. Sekarang giliran dia pula panik,” kata Anderson. – AFP, 29 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen