MEMBINA industri senjata juga akan membantu ekonomi, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir berkata pembangunan industri senjata juga boleh membantu Malaysia menjadi negara maju, tetapi Malaysia perlu mempelajari teknologi itu.
“Industri senjata memerlukan pengetahuan mengenai teknologi. Kita perlu belajar.
“Sekiranya kita mahu menjadi sebuah negara maju, kita perlu mempunyai pengetahuan mengenainya,” kata beliau pada sidang akhbar di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (Lima).
Perdana menteri ditanya sama ada membina industri senjata akan merangsang ekonomi negara, seperti kereta nasional, yang merupakan projek kesayangan Dr Mahathir.
Dr Mahathir sebelum ini melawat booth pameran Lima di Pameran Antarabangsa Mahsuri dan tertarik dengan beberapa peserta pameran dari Malaysia.
Beliau berkata Lima berjaya memacu keupayaan Malaysia dalam sektor pertahanan.
“Industri ini bertambah baik sejak Lima dianjurkan. Kita menguasai banyak teknologi canggih, dan dapat menghasilkan aset pertahanan untuk eksport.
“Ini rekod berterusan Lima. Kita akan terus mendapat keuntungan daripada pameran ini.
“Ini adalah antara acara Lima terbaik. Saya harap kita akan mendapat pelaburan dan kerjasama yang akan meningkatkan keupayaan teknologi kita, iaitu dalam pertahanan.”
Dr Mahathir juga menggesa rakyat Malaysia di luar negara dengan kepakaran dalam bidang aeroangkasa dan penerbangan pulang ke tanah air untuk berkongsi pengetahuan dan membantu industri. – 28 Mac, 2019.
Komen