Stesen mengecas kenderaan elektrik akan dibangunkan di New Delhi


India bercadang membangunkan lebih 130 stesen mengecas kenderaan elektrik di ibu negara New Delhi untuk kemudahan bakal pembeli kereta elektrik. – Gambar EPA, 28 Mac, 2019

INDIA bercadang membangunkan lebih 130 stesen mengecas kenderaan elektrik di ibu negara New Delhi untuk kemudahan bakal pembeli kereta elektrik, lapor agensi berita Xinhua.

Beberapa syarikat pembuat kereta dijangka akan melancarkan kenderaan elektrik menjelang Julai-Ogos tahun ini.

Stesen mengecas kenderaan elektrik itu dijangka beroperasi dalam tempoh tiga bulan akan datang, kata seorang pegawai kanan kerajaan. 

Keputusan mewujudkan stesen terbabit dicapai dalam pertemuan antara Menteri Tenaga Nasional, R.K. Singh dan pegawai kerajaan New Delhi bulan lepas. 

Objektif pengenalan kereta elektrik antara lain adalah untuk menangani masalah pencemaran udara di ibu negara India itu.

Tahap pencemaran udara di New Delhi dan kawasan sekitarnya amat membimbangkan yang menyaksikan kualiti udara kekal pada paras sangat berbahaya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – Bernama, 28 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen