Persidangan Wartawan Dunia di Seoul berkisar tentang keamanan di Korea


Ketua Yayasan Akhbar Korea, Min Byung-wook memberi ucapan pada Persidangan Wartawan Dunia tahun ini di Seoul, Korea Selatan. – Gambar EPA, 28 Mac, 2019

KETIKA lembaran baharu keamanan bagi Semenanjung Korea mula dibuka, Persatuan Wartawan Korea (JAK) menjadi tuan rumah kepada Persidangan Wartawan Dunia selama tujuh hari bermula Isnin lepas disertai 70 wartawan dari 40 negara.

Persidangan mengenai peranan wartawan dalam mencari keamanan di Semenanjung Korea juga membawa kumpulan wartawan berkenaan ke beberapa tempat sekitar Korea antaranya Seoul, Wilayah Gyeonggi, Sejong, Daejeon dan Gwangju.

Persidangan itu membantu wartawan asing untuk membiasakan diri dengan proses keamanan di semenanjung Korea yang bermula pada Februari 2018. 

“Hubungan Antara-Korea terus membawa sinar harapan tahun ini. Dalam separuh kedua 2018, kedua-dua negara itu buat sementara waktu menarik balik pos pengawal di zon bebas tentera dan menganjurkan majlis pecah tanah bagi rangkaian kereta api antara Korea.

“Dengan sidang kemuncak Korea Utara-Amerika Syarikat diadakan bagi kali kedua, semenanjung Korea beransur-ansur mengubah dirinya daripada perbatasan terakhir perang dingin menjadi suatu simbol keamanan dunia,” kata JAK dalam kenyataan di sini.

Dalam persidangan itu, wartawan turut mempelajari dasar kedua-dua Korea bertujuan mewujudkan keamanan di semenanjung Korea dan merasai sendiri pengalaman berkaitan kehidupan harian penduduk Korea.

Persidangan itu juga dianjurkan untuk membantu peserta menyelami keindahan budaya tradisi dan pembangunan ekonomi Korea Selatan.

Para peserta juga akan melawat istana tradisional yang terletak di tengah-tengah bangunan pencakar langit di sini dan meninjau sekitar pusat bandar Seoul. – Bernama, 28 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen