Projek kereta terbang jadi bahan jenaka pembangkang


Diyana Ibrahim

Model dron yang dikenali dengan nama Vector di pameran LIMA di Langkawi, rekaan syarikat tempatan Aerodyne Sdn Bhd. – Gambar The Malaysian Insight, 28 Mac, 2019.

PENJELASAN Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof mengenai kereta terbang menjadi bahan jenaka oleh pembangkang di Dewan Rakyat hari ini.

Antaranya, Noraini Ahmad (BN – Parit Sulong) yang turut mengambil peluang menyindir dengan bertanya jika ia akan menggunakan bahan daripaa tanaman buluh.

“Betul saya puji sebab saya kagum dengan usaha menteri nak bangunkan mobiliti udara. Cuma saya nak tahu nanti adakah 100% di bawah swasta dan berapa kos dan impak, ini kena ada.

“Menteri mungkin boleh bekerjasama dengan kementerian industri utama dalam menggunakan buluh yang akan ditanam di kementerian industri utama itu,” soalnya sinis.

Biarpun disindir, namun Redzuan tetap menjawab soalan Noraini berkata tidak mustahil buluh boleh digunakan dalam industri mobiliti udara.

“Kalau yang berhormat boleh ketengahkan teknologi itu kita sentiasa terbuka. 

“Ini melibatkan penyelidikan, segala bentuk penggunaan teknologi kena berdasarkan kaji selidik, kena ada prototaip,” katanya.

Jawapannya itu disambut dengan sindiran lanjut oleh Noraini yang tidak yakin dengan jawapan menteri itu.

“Termasuk dengan eksoz kereta terbang boleh tak?” soal Noraini sambil ketawa.

Bekas timbalan menteri itu seterusnya memperolok-olokkan model prototaip kenderaan tersebut yang dipamer di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) itu.

Menurutnya, model berkenaan tidak ubah seperti kenderaan dalam rancangan animasi Amerika Syarikat yang popular pada tahun 1970-an.

“Saya nak puji idea yang kreatif ini, teringat zaman saya tengok Jetsons dulu,” katanya lagi.

Ucapannya itu disambut Shamsul Anuar Nasarah (BN – Lenggong) yang turut mengumakan kenderaan itu seperti watak kartun robot Jepun, Doraemon.

“Sama macam Doraemon,” katanya.

Model pesawat berkenaan yang dikenali dengan nama Vector diperkenalkan di pameram LIMA di Langkawi pada minggu ini.

Ia meraih pelbagai komen dan kritikan di media sosial yang antara lain memperlekehkan rekaan, keberdayaan dan tujuan projek tersebut.

Ia merupakan hasil rekaan syarikat tempatan Aerodyne Sdn Bhd. – 28 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen