Tak perlu bayar sesen pun projek kereta terbang, kata Redzuan


Ragananthini Vethasalam

Menteri Pembanguan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof berkata, ia merupakan inisiatif sektor swasta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2019 

KERAJAAN tidak perlu membayar sesen pun untuk projek kereta terbang kerana ia dibiaya oleh syarikat swasta, kata Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau menolak dakwaan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin bahawa peruntukan sebanyak RM8 juta sudahpun disediakan bagi projek itu.

“Kita tak guna satu sen pun duit kita. Ini pelaburan dari swasta,” katanya ketika bercakap kepada pemberita di bangunan Parlimen petang ini.

Jelasnya, kerajaan juga tiada keperluan untuk membina kereta seperti itu dan hanya menyokong usaha pihak swasta.

Oleh itu, kerajaan perlu mewujudkan ekosistem dan menyediakan batas undang-undang untuk membolehkan sektor swasta melabur dan mengembangkan sektor tersebut, jelasnya.

Untuk jangka masa pendek, kereta terbang itu tidak akan digunakan untuk pengangkutan penumpang tetapi untuk pengangkutan barang, katanya.

Bagaimanapun, buat masa ini masih belum ada undang-undang untuk mengawal selia sektor tersebut maka ia perlu diwujudkan.

“Kita tak boleh terbang sesuka hati, contohnya menggunakan lapangan terbang atau helipad. Jadi undang-undang kena diwujudkan,” katanya.

Tambahnya, ruang undang-undang itu antara lain akan meliputi pelesenan dan perbincangan mengenainya sudahpun bermula dengan pihak seperti Jabatan Penerbangan Awam.

Katanya, beberapa negara lain sudahpun merancang untuk melancarkan perkhidmatan teksi kereta terbang itu sejak dua tahun lepas.

Model pesawat berkenaan yang dikenali dengan nama Vector diperkenalkan di pameran LIMA di Langkawi pada minggu ini.

Ia meraih pelbagai komen dan kritikan di media sosial yang antara lain memperlekeh rekaan, keberdayaan dan tujuan projek tersebut. – 28 Mac, 2019


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen