DRON membawa kargo dan penumpang, yang menjadi objek cemuhan di media sosial selepas disalah anggap sebagai projek kereta terbang Putrajaya, bukan untuk dijual, kata pembuatnya.
Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan dan Perundingan Aerodyne Group, Imtyaz Mohd Azzat berkata kenderaan yang dinamakan “Vector” itu, diharap akan digunakan untuk perkhidmatan pengangkutan dan pengawasan dalam pelbagai industri.
“Kami merancang untuk menjual perkhidmatan, bukannya kenderaan,” katanya kepada The Malaysian Insight di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (Lima) 2019.
Aerodyne adalah peserta pameran di gerai Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dan model mini Vector yang dipamerkan disalah anggap sebagai model kereta terbang yang pernah diumumkan oleh Menteri Mohd Redzuan Md Yusof.
Idea kereta terbang itu dikritik oleh orang ramai dan pembangkang, yang menyebabkan Vector mendapat perhatian di Lima 2019.
Imtyaz berkata beliau dan rakan-rakannya sudah membetulkan salah faham orang ramai, sambil menambah Vector adalah penyelesaian mobiliti udara, yang dikuasakan oleh empat motor dan bateri lithium-ion.
Dron itu boleh membawa sehingga 200kg dan terbang pada kelajuan 60km sejam 50m di atas tanah. Tempoh penerbangannya ialah 30 hingga 90 minit.
Imtyaz berkata Vector masih berada di peringkat reka bentuk dan kejuruteraan, dengan prototaipnya dijangka siap pada akhir tahun ini.
Jangkaan ia memasuki pasaran bergantung kepada kecepatan kerajaan dalam memperkenalkan undang-undang dan peraturan bagi kenderaan terbang tanpa pemandu.
“Ia benar-benar bergantung kepada berapa segera peraturan dibuat.
“Untuk modul kargo, kita boleh terbang dalam satu atau dua tahun. Tetapi untuk membawa penumpang lebih lama kerana membabitkan peraturan dan keselamatan.
“Kita perlu mempunyai ekosistem untuk membolehkannya terbang. Pada masa ini, sistem kawalan trafik udara adalah untuk pesawat dengan pemandu. Vector tidak dikendalikan, jadi kita perlukan sistem pengurusan trafik udara tanpa pemandu,” katanya.
Imtyaz berkata Vector Aerodyne tidak merancang untuk menjual kenderaan itu lagi, walaupun banyak menarik minat daripada pelawat luar asing di Lima.
“Sebagai permulaan, kami hanya merancang untuk menjual perkhidmatan tersebut. Modul kargo kami boleh memberi perkhidmatan kepada industri minyak dan gas, mengangkut kargo ke pelantar minyak di laut.
“Kenderaan itu juga boleh mengendalikan pengawasan dan rondaan sempadan, yang dilakukan pihak berkuasa undang-undang. Jadi, kami berharap dapat mencari pelanggan dalam sektor industri dan kerajaan,” katanya.
Ditanya sejauh mana kos untuk membangunkan Vector, Imtyaz berkata beliau tidak dapat mendedahkan angkanya, kecuali ia adalah inisiatif peribadi sepenuhnya.
Kerajaan hanya menyokong dan terbuka kepada idea itu, katanya.
“MED sangat membantu. Ia membantu merujuk kami kepada orang yang tepat untuk melihat aspek peraturan yang diperlukan bagi membolehkan kenderaan ini terbang.” – 28 Mac, 2019.
Komen