Laporan Majlis Penasihat kekal rahsia bawah OSA, kata timbalan menteri


Diyana Ibrahim

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata Laporan Akhir Majlis Penasihat Kerajaan akan kekal dilindungi Akta Rahsia Rasmi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2019.

LAPORAN Akhir Majlis Penasihat Kerajaan akan kekal dilindungi Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan tidak akan didedahkan, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin.

Beliau berkata kerajaan memutuskan laporan yang disediakan Jawatankuasa Majlis Penasihat Kerajaan kekal rahsia bawah OSA.

“Laporan Akhir Majlis Penasihat Kerajaan ini dilindungi OSA buat masa ini diberi kepada Dr Mahathir Mohamad tidak diniatkan dikongsi khalayak ramai,” katanya.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga berpendirian bahawa OSA tetapi diperlukan dan hanya menolak penyalahgunaan akta itu.

“Mungkin ada berpendapat kenapa nak OSA, mana-mana negara dunia ini perlukan OSA yang kita marah bukan kerana OSA tapi salah guna OSA,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dari Wong Kah Woh (DAP-Ipoh Timur) yang bertanya adakah kerajaan berniat untuk mendedahkan laporan itu kepada umum.

Katanya, pendedahan tersebut akan membolehkan perbahasan mengenai isu penting dapat dibahas.

Laporan Majlis Penasihat Kerajaan itu dibentangkan kepada Kabinet pada Julai lalu.

Terdahulu Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin bertanya kepada Hanipa sama ada kerajaan berhasrat untuk menjadikan ahli Majlis Penasihat Kerajaan sebagai mentor kepada menteri Pakatan Harapan.

Mengulas mengenai itu, Hanipa berkata kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan perkara demikian.

“Kita akui berbanding Barisan Nasional, kita ini junior dalam kerajaan. Kita tak sempurna tapi kita cuba sedaya upaya dan komited menjayakan Malaysia baru dan bebas dari rasuah.” – 28 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen