PARLIMEN Britain lewat Rabu menolak lapan opsyen alternatif Brexit Perdana Menteri Theresa May, memburukkan lagi ketidaktentuan usaha keluar dari Kesatuan Eropah (EU), lapor agensi berita Anadolu.
Pengundian tidak mengikat itu diadakan selepas anggota Parlimen pada Isnin lalu mengundi untuk mengawal agenda Brexit.
Usul meminta negara itu keluar daripada EU tanpa sebarang perjanjian pada 12 April, tewas teruk kerana 400 anggota parlimen menentangnya dan hanya 160 saja menyokong.
Satu lagi lagi usul mewujudkan perjanjian “tertangguh” dengan EU sementara berunding mencari penyelesaian perjanjian dagang dengan blok Eropah itu, turut diketepikan apabila hanya 139 menyokong dan 422 menentang.
Sementara itu, berhubung usul merintis jalan pungutan suara awam terhadap sebarang perjanjian Brexit, turut ditolak dengan 295 menentang berbanding 268 menyokong, tetapi May dilihat meraih sokongan tertinggi berbanding undian sebelumnya.
Usul lain yang menawarkan pelbagai model dan strategi turut ditolak ahli perundangan Britain pada undian Rabu, mencetuskan situasi Dewan Rakyat gagal menentukan hala tuju Brexit.
Pengundian dilangsungkan sehari selepas May memberitahu sekumpulan anggota parlimen Konservatif bahawa beliau akan meletak jawatan, sebaik saja pelan Brexit diluluskan dalam usaha meraih sokongan meluas membolehkan perjanjian Brexit diluluskan Parlimen minggu depan.
May dijangka membentangkan pelannya ke Dewan Rakyat untuk kali ketiga pada Jumaat, menurut laporan media.
Beliau memberitahu ahli perundangan pada sesi soal jawab pada Rabu bahawa “undian bermakna” akan diadakan pada minggu ini.
“Kami akan hanya membentangkan kembali usul melaksanakan undian bermakna apabila kami percaya mempunyai prospek realistik akan berjaya,” kata seorang jurucakap kerajaan.
Bagaimanapun, rakan de facto kerajaan, Parti Democratic Unionist (DUP), dalam kenyataan berkata, mereka tidak akan menyokong pelan itu kerana ia bertentangan dengan klausa mengenai kesatuan UK.
Pilihan baharu yang dibentangkan kini termasuk pilihan raya umum kerana parlimen gagal mencari kata sepakat terhadap sebarang pilihan meskipun selepas persetujuan melanjutkan tarikh akhir keluar dari EU.
EU bersetuju melanjutkan sehingga 12 Mei jika pelan May diluluskan parlimen pada minggu ini. Andai gagal, EU membenarkan lanjutan sehingga 12 April.
Dalam pungutan suara di seluruh UK pada 2016, rakyat memilih untuk keluar daripada blok Eropah selepas menganggotainya lebih 40 tahun. – Bernama, 28 Mac, 2019.
Komen