Timbalan speaker bengang disindir 'Taliban'


Diyana Ibrahim

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming sebelum ini pernah keluarkan kenyataan yang mendakwa kerjasama PAS-Umno akan menjadikan Malaysia sebuah negara ditadbir Taliban.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2019

TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming berang apabila digelar “Taliban” oleh seorang ahli Parlimen yang mempersoalkan jika beliau memahami butir perbahasan.

Nga juga bertindak menuntut Khairy Jamaluddin (BN – Rembau) menarik balik kenyataan berkenaan tersebut dan juga gelaran “Taliban” yang diucapkan kepadanya.

Gelaran itu merupakan sebagai sindiran ke atas Nga ekoran ucapannya ahli Parlimen DAP itu awal bulan ini yang mendakwa kerjasama PAS-Umno akan menjadikan Malaysia sebuah negara ditadbir Taliban.

Kekecohan dalam Dewan Rakyat hari ini bermula apabila Khairy mengemukakan soalan kepada Menteri Kewangan Lim Gua Eng mengenai Bantuan Sara Hidup bagi golongan bujang.

Khairy dalam soalannya mendakwa Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2018) 2019 yang dibentangkan semalam digunakan bagi tujuan Pilihan Raya Kecil PRK Rantau bulan depan.

Dakwanya, ia bagi membolehkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menawarakan bantuan lebih tinggi kepada golongan bujang sewaktu kempen tersebut.

Bekas menteri tersebut juga menggelarkan Bantuan Sara Hidup itu sebagai “Basah”, sebagai sindiran bahawa tawaran PH menyebabkan pengundi ditipu.

“BRIM dulu ada kategori bujang RM450 kalau BN menang dinaikkan kepada RM600. BSH atau Basah asal tidak ada kategori bujang tetapi sempena PRK Semenyih diumum RM100 kepada kategori bujang diberikan.

“Kalau kata tidak ada duit saya lihat semalam menteri ada bentang RUU Perbekalan Tambahan adakah BSH akan naik kepada RM400 sama seperti kerajaan Barisan Nasional dalam PRK Rantau ini.

“Adakah sempena PRK Rantau akan ada pengumuman kenaikan elaun sara hidup untuk bujang. Ada masalah dengan pemahaman, Taliban?” soal ahli Parlimen itu.

Nga kemudian yang berang dengan kenyataan itu menutut Khairy menarik balik ucapan tersebut dan meminta agar tiada provokasi dibuat.

“Yang Berhormat Rembau, tarik balik. Ini lah dia kita harus diijadikan iktibar bila kita nak pastikan Dewan Rakyat ini berjalan lancar tapi nak buat provokasi.

“Saya rasa kesal, ini sikap yang tak patut kita belajar,” kata Nga.

Khairy seterusnya menarik balik ungkapan “Taliban” tersebut.

Sementara itu, Lim ketika menjawab soalan Khairy menafikan Akta Perbekalan Tambahan yang dibentangkan semalam untuk bacaan kali pertama digunakan bagi tujuan PRK Rantau.

“Saya rasa YB sebagai orang berpengalaman, lebih tahu RUU semalam untuk tahun lepas bukan tahun ini. Inilah jadinya kalau tak buat kajian,” kata menteri itu. – 28 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen