PERDANA Menteri New Zealand Jacinda Ardern mengalu-alukan tindakan Facebook membendung pelampau kulit putih menggunakan platform media sosial itu tetapi berkata ada banyak lagi perlu dilakukan susulan serangan di dua masjid Christchurch.
Gergasi media sosial itu mendedahkan akan mengenakan garis panduan lebih ketat terhadap kata-kata kebencian di Facebook dan Instagram, mengatakan nasionalisme kulit putih dan pemisah kulit putih sama berkait dengan kumpulan pembenci tersusun dan akan diharamkan.
Ketika membuat pengumuman itu, syarikat berpangkalan di California tidak khusus merujuk kepada kejadian serangan di Christchurch yang menyebabkan 50 nyawa melayang apabila seorang pengganas kulit putih menyerang umat Islam dengan tembakan rambang di dua masjid.
Tetapi Ardern dengan jelas berkata beliau percaya ia respons langsung daripada kritikan yang sewenang-wenangnya dibuat di Facebook, di mana penembak itu menggunakan media sosial itu untuk melakukan serangan secara langsung.
Beliau berkata New Zealand akan memainkan peranan aktif dalam memastikan media sosial tidak dijadikan tempat kata-kata kebencian bebas dilontarkan.
Ardern berkata matlamatnya ialah mengehadkan kandungan ucapan yang mencederakan “sementara memelihara Internet yang bebas, terbuka dan selamat”.
Katanya, banyak negara termasuk Australia, Ireland dan Jerman bergelut dengan isu menangani bahan ekstremis di media sosia, pendekatan antarabangsa juga amat diperlukan.
“Kita boleh promosikan nilai baik secara dalam negara, tetapi platform ini global dan saya percaya, oleh itu penyelesaian perlu dicari,” katanya.
Pada Selasa, Australia memberi amaran eksekutif media sosial boleh dipenjarakan kerana gagal memadam bahan ekstremis. – AFP, 28 Mac, 2019.
Komen