KERAJAAN tidak akan meluluskan sebarang Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi Tapak Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) di Malaysia, kata Yeo Bee Yin.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) itu berkata, ia sebagai langkah melindungi kawasan terbabit daripada sebarang pembangunan.
“Kita memutuskan bahawa kelulusan EIA tidak akan dipertimbangkan lagi pada masa depan untuk kesemua Tapak Ramsar di Malaysia termasuk Sungai Pulai.
“Tapak Ramsar adalah tanah lembap yang diakui mempunyai kepentingan antarabangsa di Konvensyen Ramsar.
“Ini adalah Perjanjian Alam Sekitar Pelbagai Hala yang ditubuhkan pada 1971 UNESCO dan dikuatkuasa 1975. Terdapat enam tapak Ramsar di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Yeo menjawab soalan Wong Shu Qi (DAP-Kluang) yang bertanya sama ada kerajaan akan meluluskan pembangunan di tapak Ramsar Sungai Pulai, Johor seperti dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Antara kawasan tapak Ramsar yang kini terjejas teruk akibat penerokaan kawasan hutan adalah Tasik Chini di Pahang. – 28 Mac, 2019.
MENYUSUL
Komen