Kerajaan meterai kontrak perolehan RM4 bilion di Lima'19 


Looi Sue-Chern

Antara pertunjukan udara yang dipamerkan di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi. Pameran akan diadakan sehingga Sabtu ini. – Gambar EPA, 28 Mac, 2019

KERAJAAN menandatangani kontrak perolehan dan kontrak program kerjasama industri dan memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM4 bilion dengan pelbagai syarikat di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (Lima’19) hari ini.

Sebahagian besar kontrak berkenaan berjumlah RM3.67 bilion adalah untuk perkhidmatan penyelenggaraan, membaiki dan baik pulih aset pertahanan sedia ada untuk mengoptimumkan kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan Malaysia.

Sementara itu,RM500 juta lagi adalah bagi perjanjian dan MoU yang ditandatangani semasa Lima.

Kementerian Pertahanan memeterai tujuh kontrak perolehan dengan pelbagai syarikat, yang disaksikan oleh menterinya, Mohamad Sabu.

Antara kontrak berkenaan adalah perjanjian dengan firma Aeroangkasa dan Pertahanan Kongsberg dari Norway untuk membekal peluru berpandu Tentera Laut iaitu peluru berpandu permukaan ke permukaan; dan program penyesuaian Boustead Naval Corporation untuk dua kapal selam.

Mohamad turut menyaksikan dua pertukaran MoU melibatkan kementeriannya, manakala Menteri Pengangkutan Anthny Loke menyaksikan empat pertukaran MoU.

Antara MoU berkenaan adalah perjanjian Latihan Dalam Pekerjaan Politeknik Banting Selangor dengan AirAsia Bhd dan kerjasama strategik dengan Malaysia Airlines Bhd bersama Universiti MalaysiaTerengganu dan International Green Training Centre dalam pembangunan dan tawaran program latihan logistik serta pembangunan modal insan dalam sektor maritim.

Upacara itu juga menyaksikan penyerahan lapan surat dan 10 surat penerimaan untuk pelbagai kontrak perolehan. – 28 Mac, 2019

Berita penuh di sini.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen