Tabung Haji patut pulang ke pangkal jalan, kata penganalisis


Sheridan Mahavera

MENINGKATKAN dana untuk membantu umat Islam menunaikan haji patut jadi sebahagian daripada langkah penyusunan semula Lembaga Tabung Haji (TH), kata penganalisis, yang berpendapat badan itu harus kembali kepada matlamat asalnya.

Matlamat asalnya membantu umat Islam menabung dengan halal dan selamat bagi membolehkan mereka mencapai tahap mampu untuk melengkapkan Rukun Islam yang kelima, menunaikan haji di Mekah.

Untuk mencapai matlamat itu, TH melabur dalam ekonomi agar pulangannya dapat meningkatkan nilai tabungan, yang kemudian digunakan bagi menampung kos mengerjakan haji.

Selepas salah urus oleh pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini, TH tidak wajar dibenarkan melaburkan dalam instrumen berisiko tinggi atau pasaran saham yang boleh menjejaskan dana penyimpan, kata penganalisis.

Mereka berkata dana itu sepatutnya hanya dibenarkan melabur dalam pelaburan berisiko rendah supaya ia boleh terus membantu jemaah menampung kos menunaikan haji yang mencecah sampai lebih RM20,000 seorang.

“Tabung Haji tidak sama macam dana pelaburan lain, yang matlamatnya semata-mata melabur dan membuat pulangan tinggi untuk pencarum,” kata Nazarry Rosli dari Jupiter Securities.

“Tabung Haji ditubuhkan dengan satu tujuan iaitu membantu penyimpan mengumpulkan duit yang cukup untuk mengerjakan haji. Ia tidak ada urusan untuk terjun dalam pelaburan berisiko tinggi seperti membeli saham atau berniaga mata wang,” kata Nazarry kepada The Malaysian Insight.

TH boleh melabur dengan cermat, cukup untuk meningkatkan dananya supaya boleh memberikan subsidi kos haji – tetapi bukan dalam pelaburan yang ada risiko tinggi, katanya.

Matlamat asal TH ialah membantu umat Islam menabung dengan halal dan selamat bagi membolehkan mereka mencapai tahap mampu menunaikan haji di Mekah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2019.

Pada Disember lalu, kerajaan mengumumkan pelan menyusun semula TH selepas terbongkar bahawa ia tidak dikendalikan dengan cekap oleh pengurusan lamanya.

Kerajaan juga membayangkan hasrat mahu mengurangkan subsidi kepada jemaah haji yang ditanggung oleh TH.

Kos mengerjakan haji yang ditetapkan oleh Arab Saudi bagi tahun ini RM22,900, meningkat daripada RM22,450 tahun lalu. Jemaah bagaimanapun hanya membayar RM9,980, kadar yang kekal sejak 2009 kerana TH menanggung subsidi baki kos berkenaan.

Pada 2013, jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung oleh TH berjumlah RM93 juta. Jumlah itu meningkat dari tahun ke tahun sehingga mencecah RM400 juta tahun lalu kerana kenaikan kos haji.

Pengurusan tabung itu sudah menyimpang daripada tujuan asal TH apabila mula melabur untuk memberikan dividen atau hibah yang tinggi, kata Nazarry.

“Ada penyimpan yang menyimpan sehingga berjuta-juta ringgit dalam tabung itu kerana hendak dividen yang tinggi. Mereka ini antaranya sudah pergi haji dan menyimpan hanya untuk buat duit,” katanya.

Hasil semakan kedudukan kewangannya tahun lalu, TH mendapati 1.3% daripada penyimpannya, atau 117,000 daripada 9.3 juta keseluruhan pencarum, memegang lebih 50% jumlah simpanan dana itu. Seorang daripadanya mempunyai simpanan sehingga RM190 juta.

Mereka menyimpan dalam TH kerana dana itu memberikan pulangan untung sehingga 8% setahun sejak lima tahun lalu, ketika kebanyakan bank hanya mampu membayar keuntungan purata antara 3% hingga 4%.

Antara pelaburan berisiko tinggi yang dibuat oleh TH, untuk mendapatkan untung besar supaya ia boleh memberikan dividen tinggi, termasuk dalam syarikat minyak dan gas.

Awal Januari 2017, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli ketika itu ahli Parlimen Pandan, mendakwa TH rugi sehingga RM700 juta kerana kejatuhan nilai saham pelaburan dalam empat syarikat minyak dan gas.

Semakan ke atas kedudukan kewangan TH selepas peralihan kerajaan pada Mei tahun lalu mendedahkan pengurusannya sebelum ini menyalahi undang-undang apabila membayar dividen ketika liabilitinya melebihi aset.

Mengikut Akta Tabung Haji 1995, TH tidak perlu membayar dividen jika tanggungannya lebih tinggi daripada aset. Pembayaran dividen yang melanggar undang-undang itu dikesan berlaku sejak 2014.

Seorang lagi penganalisis, Rais Hussin dari Emir Research berkata pengurusan kanan TH sebelum ini harus diadili dan dituntut ganti rugi akibat keputusan salah mereka.

“Itulah yang adil bagi penyimpan, iaitu tindakan diambil terhadap mereka dan kerugian tersebut dituntut balik. Mereka ini pecah amanah.

“Apabila mereka diberi amanah menguruskan dana itu dengan cermat dan mereka buat pelaburan berisiko tinggi, itu maknanya pecah amanah,” katanya.

Rais berkata kegagalan pelaburan TH itu bukan saja menyebabkan kerugian berbilion ringgit tetapi menjejaskan sumbangannya kepada ekonomi Malaysia.

Pelaburan TH, yang memiliki aset RM70.3 bilion, jika dibuat dengan betul boleh merancakkan ekonomi negara, kata Rais. – 4 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen