CADANGAN mengurangkan subsidi kos menunaikan haji akan memesongkan Lembaga Tabung Haji (TH) daripada matlamat asal penubuhannya, kata penyimpan dana itu.
Rata-rata penyimpan yang ditanyakan pendapat oleh The Malaysian Insight berkata mereka tidak kisah sekiranya TH membayar dividen atau hibah yang rendah, asalkan subsidi kepada jemaah haji tidak dikurangkan.
“Matlamat Tabung Haji ialah untuk bantu orang pergi haji. Sebab itu kita simpan duit, buka akaun di Tabung Haji. Kita bukan saja-saja simpan duit di Tabung Haji,” kata pesara kerajaan, Halim Rahman.
TH bermula pada 1963 sebagai Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji sebelum digabungkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji pada 1969 dan dikenali dengan nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH). Namanya ditukar kepada nama sekarang pada 1995.
Biarpun bertukar nama, matlamat TH ialah membantu umat Islam menabung dengan halal dan selamat bagi membolehkan mereka mencapai tahap mampu untuk melengkapkan menunaikan haji.
Halim, 61, berkata, rata-rata orang menyimpan duit di TH sebagai tabungan untuk menunaikan haji dan bukannya untuk dapat dividen tinggi.
“Cuba tanya orang yang buka akaun TH, niat sebab apa. Mesti kita orang Islam cakap sebab nak pergi haji. Kita tak kata… oh, kita masuk TH sebab nak dapat dividen lebih tinggi.
“Bagi saya kalau dapat dividen tinggi itu rezeki, bonus tapi kena tengok matlamat asal TH. Saya tak kisah dapat dividen rendah kalau dapat bantu semua orang pergi haji,” katanya, yang masih menunggu giliran untuk menunaikan haji.
TH dijangka mengumumkan dividen bagi tahun 2018 tidak lama lagi, yang dijangka rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Bagi tahun 2107, TH membayar 4.5% dividen tahunan dan 1.75% dividen khas bagi pencarum yang belum mengerjakan haji.
Subsidi haji selama ini membolehkan kos menunaikan haji kekal pada kadar RM9,980 walaupun kos sebenarnya tahun ini ialah RM22,900. Kos itu malah sebenarnya meningkat dari tahun ke tahun.

Dalam pada itu, Shahleha Yusof, 59, juga tidak setuju dengan cadangan pihak TH mahu mengurangkan subsidi haji biarpun sedar peningkatan kos yang ditanggung tabung itu.
“Ya betul, saya tahu memang kos meningkat dan sebab itulah kita ada TH.
“Bagi saya kerajaan sekarang ini mungkin tidak memahami tujuan penubuhan TH sebab itu mereka boleh kata kurangkan subsidi,” kata suri rumah itu.
Seorang lagi pendeposit TH, Sukiman Ahmad,60, berkata tindakan kerajaan mengurangkan subsidi haji boleh membangkitkan kemarahan umat Islam.
“Saya rasa tindakan kerajaan PH tidak bijak dan hanya akan membangkitkan kemarahan umat Islam.
“Mereka kena ingat kita semua ini pengundi. Kalau mereka teruskan dengan keputusan, saya rasa mereka cuma dapat mentadbir sepenggal saja,” katanya.
Sukiman yang pertama kali menunaikan haji pada 2010 berkata kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Dr Mujahid Yusof bahawa menanggung subsidi haji bukan tanggungjawab kerajaan, baginya amat tidak masuk akal.
Minggu lalu, Mujahid berkata, pihak TH akan meneliti untuk mengurangkan subsidi haji pada masa akan datang kerana syarat mampu, termasuk dari segi kewangan, untuk wajib menunaikan haji dalam Islam terletak pada setiap umat Islam sendiri.
Menurut Sukiman, duit yang TH berikan sebagai subsidi itu asalnya adalah daripada keuntungan pelaburan simpanan pendeposit dan wajarlah ia dipulangkan kepada jemaah haji sebagai subsidi untuk meringankan beban kos mereka.
“Kalau Mujahid kata TH tak nak tanggung (subsidi), apa yang membezakan TH dengan bank pelaburan, sebab tujuan (TH) untuk bantu kita pergi haji. Saya memang kecewa bila dengar kenyataan menteri itu,” katanya.
Sementara itu, Muhamad Halim, 52, yakin pendeposit akan memahami keperluan TH mengurangkan subsidi haji jika mereka menerima dividen rendah tahun ini.
“Saya tak nafikan memang ada yang gunakan dividen TH ini untuk bantu mereka tampung keperluan belanja sekolah anak seperti saya memang dividen itu membantu.
“Tapi semua orang faham apa yang TH lalui, jika diterangkan dengan baik. Kita boleh terima asalkan selepas pengurusan TH lebih telus,” katanya yang turut tidak bersetuju jika subsidi haji dikurangkan.
“Kalau betul dikurangkan orang akan pertikaikan kenapa dulu masa Barisan Nasional boleh, kenapa sekarang tidak. Saya rasa ia tidak bagus untuk PH.” – 4 April, 2019

Komen