Singapura rancang kemudahan bawah tanah, wujud lebih banyak perumahan  


Singapura kini beralih kepada fasa seterusnya dalam transformasi untuk mewujudkan kediaman yang lebih selesa kepada penduduknya.– Gambar EPA, 28 Mac, 2019

BAGI meningkatkan kehijauan dan menambahkan jumlah kediaman di kawasan pusat perniagaan, pihak berkuasa Singapura merancang untuk memindahkan kemudahan di bawah tanah, lapor Bloomberg.

Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar, melalui draf pelan induk yang didedahkan semalam berkata, ia bagi mewujudkan lebih banyak perumahan dan kemudahan di kawasan pusat bandar, Marina South dan Rochor, untuk membenarkan lebih ramai penduduk tinggal berhampiran tempat kerja mereka.

Pelan itu termasuk tambahan 1,000 hektar taman dan penyambung taman, yang bertujuan untuk membolehkan 90% isi rumah berada dalam jarak berjalan kaki dari kawasan-kawasan ini.

“Kawasan perniagaan utama kami adalah pengunaan tunggal hari ini, yang bermaksud, ia sebahagian besarnya hanya didominasi oleh pembangunan pejabat,” Menteri Pembangunan Lawrence Wong dipetik sebagai berkata.

“Ia sangat sibuk ketika hari bekerja, namun pada malam dan hujung minggu, kita tidak melihat banyak aktiviti.”

Tambahnya, daerah itu sepatutnya menjadi “tempat tenang untuk hidup dan berhibur”.

Untuk mencapai tujuan itu, kemudahan, pengangkutan, penyimpanan dan kemudahan industri akan dipindahkan ke bawah tanah untuk mengosongkan tanah, dan kerajaan akan menggunakan teknologi 3D untuk pemetaan ruang tersebut terlebih dahulu.

Draf pelan induk juga akan disediakan untuk meningkatkan hubungan pengangkutan di hab utama di utara, barat dan timur.

“Sepanjang dekad yang lalu, Singapura telah berubah dari dataran lumpur kepada metropolis,” kata Wong.

“Sekarang, kita merancang untuk ke fasa seterusnya transformasi.” – 28 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen