Mangsa jenayah seksual R Kelly buka mulut pada media


Penyanyi terkenal R. Kelly yang dibenarkan ikat jamin selepas didakwa 10 pertuduhan jenayah seksual membabitkan empat mangsa wanita. – Gambar AFP, 28 Mac, 2019.

SALAH seorang mangsa yang menuduh R. Kelly melakukan kesalahan jenayah seksual, mendedahkan kesengsaraannya kali pertama, menyifatkan beliau rasa lega dan bersedia untuk berdepan dengan bintang R&B itu.

“Saya memikul beban ini sejak 2003,” kata Lanita Carter kepada CBS dalam satu sedutan temu bual yang dijadualkan disiarkan hari ini.

“Saya duduk di dalam bas dan terpaksa mendengar perbualan seperti: ‘Dengar tak apa mereka buat pada R.Kelly? Mereka tak patut kacau dia.’ Dan saya sendiri tidak dapat pertahankan diri sendiri.”

Carter salah seorang daripada empat wanita yang terbabit dalam kes dibawa oleh pendakwa raya Chicaho yang mendakwa Kelly dengan 10 pertuduhan jenayah penderaan seksual

Tiga daripada mangsa masih bawah umur sementara Carter berusia 24 tahun ketika serangan itu berlaku.

Katanya, ketika bekerja sebagai pendandan rambut Kelly, penyanyi itu memaksanya melakukan seks oral. Ketika dia enggan melakukannya, Kelly melancap di atas badannya.

Menurut dokumen mahkamah, sehelai kemeja T milik Carter diserahkan untuk ujian DNA dan ia padan dengan profil Kelly.

Sambil menangis, Carter bercakap tentang betapa sukar baginya untuk melawan selebriti terkenal dunia seperti Kelly.

“Jika saya mati esok, saya tahu saya sudah beritahu kebenarannya. Sukar kerana dia selebriti. Bukan mudah.

“Hari ini saya tidak akan cakap lagi. Anda boleh cakap tentang saya. Anda tidak akan suka apa yang saya cakap tentang penyanyi kegemaran anda. Tetapi ini hidup saya, ini kebenaran saya.”

Tuduhan jenayah terhadap Kelly – yang kini dalam ikat jamin – dikatakan berlaku antara Mei 1998 dan Januari 2010. – AFP, 28 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen